KENDERAAN ELEKTRIK: Isu Alam Sekitar & Jurang Dasar

CAP Serah Memorandum kepada Kerajaan

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mengemukakan memorandum bertajuk “Kenderaan Elektrik: Isu Alam Sekitar dan Jurang Dasar” kepada Perdana Menteri, Kementerian-kementerian serta agensi-agensi berkaitan pada Julai 2025.

Kenderaan elektrik (EV) sering dipromosikan sebagai alternatif yang lebih bersih dan lestari berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).  Memorandum ini mengetengahkan pelbagai cabaran dari segi alam sekitar, ekonomi dan dasar yang berkaitan dengan penggunaan EV di Malaysia. CAP menyeru agar pendekatan yang lebih menyeluruh dan seimbang dilaksanakan dalam elektrifikasi pengangkutan, dengan mengutamakan kepentingan awam, keselamatan, perlindungan alam sekitar, dan kelestarian jangka panjang, dalam pelaksanaan EV secara meluas.

Isu utama yang dibangkitkan termasuk:

  • Impak negatif aktiviti perlombongan nadir bumi dan mineral kritikal
  • EV bukanlah benar-benar kenderaan sifar emisi kerana tetap menghasilkan gas rumah hijau sepanjang kitar hayatnya
  • Kos yang tinggi dan tahap kemampuan yang rendah bagi orang awam
  • Infrastruktur pengecasan dan perkhidmatan yang tidak mencukupi
  • Jangka hayat bateri yang terhad dan isu prestasi
  • Kebolehkitaran semula yang rendah dan kehadiran bahan toksik

Cadangan yang dikemukakan termasuk:

  • Utamakan sisa sifar dan reka bentuk EV yang cekap sumber
  • Kembangkan infrastruktur pengecasan yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui
  • Sokong pembaikan bateri, penggunaan semula dan latihan kepada juruteknik
  • Galakkan penggunaan bateri terpakai untuk aplikasi penyimpanan tenaga
  • Laksanakan tanggungjawab pengeluar lanjutan (EPR)
  • Laksanakan sistem pasport bateri digital
  • Alihkan pelaburan ke arah pengangkutan awam dan mobiliti perkongsian

CAP menegaskan bahawa kenderaan elektrik bukanlah penyelesaian mutlak bagi menangani cabaran pengangkutan dan iklim di Malaysia. Tanpa peraturan yang berkesan, infrastruktur yang mencukupi, dan perancangan yang holistik, EV mungkin hanya menggantikan satu bentuk kemudaratan alam sekitar dengan bentuk yang lain. Kerajaan mesti memastikan usaha elektrifikasi ini menyokong matlamat yang lebih luas seperti keadilan sosial, kesihatan awam, integriti alam sekitar dan pembangunan mampan.

Baca memorandum penuh di sini:
25 Julai 2025 – Memorandum CAP Mengenai Kenderaan Elektrik