Keputusan Mahkamah Berhubung Projek Granito Mesti Disemak Semula

Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) menggesa Peguam Negara (AG) supaya menyemak semula dan menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Pulau Pinang kelmarin, di mana jurutera perunding dan firma kejuruteraan yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah pada Oktober 2017 masing-masing dikenakan denda RM40,000.

Menurut laporan media, jurutera perunding, Khoo Koon Tai, dan firma Perunding KAA Sdn. Bhd. mengaku bersalah terhadap tuduhan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal menyediakan pengiraan kejuruteraan bagi cerun sementara untuk projek Granito di mana berlakunya tanah runtuh, dengan itu gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja di tapak pembinaan.

Kami amat terkejut dengan pengenaan denda yang tidak seberapa, memandangkan betapa seriusnya kesalahan yang membawa kepada kematian 11 pekerja.

Sebenarnya, Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) mengenai tragedi tanah runtuh itu mendapati jurutera Khoo sangat cuai dan menyarankan siasatan jenayah dijalankan oleh pihak polis (di bawah arahan AG jika diperlukan) untuk menentukan sama ada pendakwaan patut dimulakan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.

Seksyen 304A memperuntukan bahawa “Barang siapa menyebabkan kematian seorang, dengan melakukan apa-apa perbuatan gopoh atau cuai yang tidak terjumlah kepada mematikan orang dengan salah, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Denda sebanyak RM40,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen tidak mencegahnya sama sekali dan hanya kesan kecil bagi jurutera dan firmanya. Ia tidak menggambarkan betapa seriusnya perkara itu. Hukuman penjara perlu dikenakan untuk menjadi contoh kepada jurutera lain.

TBRA paling kecewa berhubung perkara ini dan menggesa AG untuk menyemak semula dan merayu keputusan bagi hukuman yang lebih tinggi yang boleh menjadi lebih menghalang dalam keadaan itu.

Kami juga menggesa pihak polis supaya memulakan siasatan jenayah di bawah arahan AG seperti yang disarankan oleh SCI dan menjalankan pendakwaan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Jika langkah pencegahan dan tiada tindakan serius diambil, kehilangan nyawa 11 pekerja menjadi sia-sia dan hasil siasatan SCI tidak akan memberikan kesan dan bermakna.

 

Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA)

Kenyataan Akhbar, 12 September 2019