Kehilangan Ikan Yu dan Pari Memberikan Kesan Buruk

Sahabat Alam Malaysia (SAM) kecewa apabila mendapati Malaysia mengundi menentang perlindungan spesies ikan yu yang berisiko mengalami kepupusan. Nasib ikan yu dunia berada di tangan 20 negara teratas penangkap ikan yu, termasuk Malaysia, di mana ramai daripada mereka gagal untuk menunjukkan apa yang mereka lakukan untuk menyelamatkan spesies terancam ini. Mereka perlu mengambil tindakan untuk menghentikan kemerosotan bilangan ikan yu dan membantu memastikan bahawa senarai spesies terancam oleh penangkapan ikan berlebihan dan pengambilan sirip ikan yu tidak terus berkembang.

Komitmen oleh negara penyokong untuk memulihara makhluk lautan yang berhadapan kepupusan amat dialu-alukan. Bagaimanapun, perlindungan ikan yu dan pari di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITIES) bukan pengharaman ke atas 18 spesies ikan yu, melainkan untuk mengawal perdagangan bagi memastikan perdagangan antarabangsa ikan yu dan ikan seperti ikan yu tidak mendorong kepada kepupusan.

Malaysia tidak mengakui cadangan oleh CITIES berdasarkan kepada jenis ikan hanya melalui tangkapan, dan tidak secara spesifik yang diburu. Penetapan ini adalah berdasarkan pandangan pakar ikan yu di Asia Tenggara. Sudah tentu terdapat alasan lain seperti bantahan daripada kebanyakan negara Asean, dan penemuan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) bahawa ikan yu ini tidak sesuai untuk perlindungan memandangkan ia tidak memenuhi kriteria tertentu.

Bagaimanapun, di Malaysia ikan yu yang berada di bawah CITIES boleh dimakan kerana ia disenaraikan sebagai ‘ikan’ di bawah Akta Perikanan di bawah Kementerian Pertanian (MoA). MoA lebih kepada makanan, protein dan penggunaan daripada perlindungan spesies.

Ini sesuatu yang amat malang kerana ikan yu ditetapkan sebagai ikan. Permintaan pasaran yang tinggi bagi sirip ikan yu pada masa ini adalah pendorong utama penangkapan ikan tidak mampan bagi ikan yu. Banyak spesies ikan yu kini terancam dan terus merosot disebabkan perikanan tidak terkawal.

Kajian 2017 oleh NGO pemantau perdagangan hidupan liar, Traffic, meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga terbesar pengimport sirip ikan yu berdasarkan jumlah, di belakang Hong Kong dan tanah besar China. Kajian yang sama juga menyatakan ikan yu mako sebagai spesies ikan yu kedua yang paling banyak diperdagangkan, spesies yang sama di mana Malaysia mengundi menentang dikenakan peraturan perdagangan ke atasnya. Sama ada disebabkan oleh tangkapan atau spesies yang disasarkan, sedikit kawalan dikenakan untuk mengehadkan paras penangkapan semua ikan yu di Malaysia Timur dan tidak jelas sama ada paras pengeluaran semasa ini mampan bagi semua atau spesies ikan yu tertentu.

Kehilangan lebih banyak ikan yu dan pari akan memberikan kesan yang tidak dikehendaki memandangkan ia adalah pemangsa lautan utama dan membantu mengimbangi ekosistem.

Pemuliharaan ikan yu menjadi kebimbangan global yang semakin meningkat yang memerlukan pelaksanaan penyelesaian bagi mengakhiri kehilangan besar bilanganikan yu. Mengharamkan sirip ikan yu sahaja tidak menyelesaikan masalah memandangkan ikan yu masih ditangkap pada paras yang tidak mampan. Apa yang diperlukan ialah mengharamkan penangkapan ikan yu bukan hanya sirip ikan yu.

 

Surat Kepada Pengarang, 12 September 2019