Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Malaysia mengenakan larangan ke atas pengeksportan pasir dan menarik balik AP (approved permit) untuk pengeksportan pasir sungai. Gesaan CAP adalah lanjutan daripada laporan media bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah mengeluarkan 11 AP untuk mengeksport pasir sungai.
Ianya dilaporkan bahawa pemegang AP dibenarkan mengeksport pasir sungai dan mineral lain ke negara Brunai, China, Taiwan, Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, India, Japan dan Maldives.
Data eksport pasir Bahagian Statistik UN (Commodity Trade Statistics Database – COMTRADE) mendedahkan bahawa pada tahun 2017 jumlah pasir (HS 2017 kod 2505: semua jenis pasir selain pasir galas logam) yang dieksport oleh Malaysia ialah 1,879,233,138kg dengan sekitar 95 peratus dieksport ke Singapura.
Pada tahun 2018, eksport pasir dari Malaysia mengalami sedikit penurunan ke 1,693,640,785kg, sementara Singapura sekali lagi menjadi pengimport terbesar dengan 94.7% pasir Malaysia dihantar ke negara jiran kita. Malaysia kemudian memutuskan untuk melarang eksport pasir laut ke Singapura semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada tahun 2018.
Namun, pasir sungai masih dieksport melalui pemberian AP. Ianya menyedihkan apabila melihat sumber asli terus dieksploitasi tidak kira siapa yang berkuasa. Aspek pemeliharaan alam sekitar diabai dalam mengejar wang dan keuntungan.
Dengan pemberian AP untuk eksport pasir sungai, kami bimbang kesan yang akan menimpa alam sekitar dan rakyat. Dengan meningkatnya permintaan tempatan serta eksport, kami khuatir bahawa kadar pengambilan pasir dari sungai akan melebihi kadar pengisian semula pasir secara semula jadi.
Beberapa kesan kepada alam sekitar dari perlombongan pasir sungai yang telah kami amati dan terima aduan adalah hakisan di hilir dan kesan yang berkaitan seperti kerosakan infrastruktur, harta benda awam, kehilangan tanah ladang dan rizab sungai akibat dari hakisan tebing sungai.
Habitat akuatik juga terjejas akibat gangguan pada kawasan pembiakan, nurseri, habitat kerang dan habitat riparian. Pengambilan pasir dari sungai akan mengubah aliran dan hidraulik sungai, menyebabkan kemerosotan kualiti air kerana sungai menjadi lebih keruh. Selain kesan lain terhadap ekosistem sungai, perlombongan pasir juga menyebabkan penyebaran semula bahan organik dan toksik, seterusnya menurunkan kualiti air.
CAP juga telah memerhati banyak masalah pentadbiran dan penguatkuasaan yang berkaitan dengan perlombongan pasir. Antaranya ialah syarat atau keperluan teknikal kerap dilanggar oleh pelombong pasir. Terdapat juga masalah pemantauan untuk memeriksa sama ada pelombong pasir mematuhi syarat-syarat teknikal, atau mengekstrak pasir melebihi isipadu yang dibenarkan. Ada juga isu perlombongan pasir haram dan pencurian pasir termasuk dengan naungan jenayah terancang.
Peningkatan permintaan tempatan untuk pasir sungai dan pengeluaran AP untuk eksport pasir sudah pasti akan membawa kepada lebih banyak masalah dan kemusnahan alam. Seluruh dunia perlu mengurangkan penggunaan pasir, mengelakkan penggunaan pasir asli dalam projek pembinaan dan menghentikan penggunaan boros contohnya untuk penambakan dan projek mewah.
Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia adalah menyedari bahawa pasir adalah sumber yang terhad. Dunia kini semakin kekurangan pasir dan banyak negara telah mulai melarang eksport pasir. Malaysia harus melakukan perkara yang sama dan melindungi sumber asli kita yang berharga. Hentikan pengeksportan pasir.
Surat Kepada Pengarang, 29 Jun 2020