SAM KESAL JETI NELAYAN CHUKAI TERLALU UZUR
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Terengganu dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah jeti nelayan di Chukai daerah Kemaman di sini yang telah lama uzur serta membahayakan keselamatan pengguna.
Masalah yang di hadapi oleh 200 nelayan pantai di kawasan ini telah berlalu sejak lebih 10 tahun yang lalu tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab walau pun perkara tersebut telah beberapa kali dilaporkan.
Tinjauan SAM mendapati lebih 90% keadaan jeti sepanjang 200 meter di tempat ini berada dalam keadaan merbahaya dan boleh mengancam keselamatan para nelayan di kawasan tersebut kerana lantai serta tiangnya yang telah reput dan patah.
Lubang-lubang yang terdapat di sepanjang jeti ini boleh menyebabkan nelayan dan orang awam terutama kanak-kanak yang melaluinya jatuh dan cedera jika tidak berhati-hati ketika berjalan di atas jeti tersebut.
Nelayan-nelayan yang terlibat mengadu kepada SAM bahawa mereka bukan saja bimbang mengenai keselamatan ketika menjalankan kegiatan harian tetapi juga mengalami kesulitan untuk mendaratkan hasil tangkapan.
SAM kesal walau pun masalah ini sudah lama berlarutan tetapi hingga sekarang tidak ada perhatian serius yang diberi dan tindakan sewajarnya yang diambil oleh pihak berkenaan bagi menyelesaikannya.
Sehubungan itu SAM berharap pihak yang bertanggungjawab menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini. SAM percaya jika keadaan jeti tersebut dibiarkan kejadian yang tidak di ingini boleh berlaku pada masa akan datang.
SAM mencadangkan dan berharap sebuah jeti baru dibina di kawasan itu agar nelayan terbabit tidak terus terdedah kepada keadaan yang boleh menjejaskan keselamatan dan aktiviti harian mereka sekali gus meredakan kebimbangan serta kesulitan yang di hadapi selama ini.
Kenyataan Media, 14 Mei 2016