Kita sekarang berdepan pandemik, batalkan pelancongan perubatan!

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agak terkejut mendengar berita Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membenarkan pelancongan perubatan di sebalik peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang dan kemunculan kluster Covid-19 baharu di negara jiran tersebut.

Menurut laporan terdapat penerbangan Air Asia yang tiba minggu lalu, membawa bersamanya pelancong perubatan dari Medan, Indonesia ke Pulau Pinang untuk rawatan. Berita ini agak ironik memandangkan Indonesia sendiri telah mengumumkan  pelancong asing dilarang masuk ke negara itu pada 2020 kerana kes-kes Covid-19 yang tinggi dan membimbangkan yang sedang mereka hadapi.

Pada pandangan kami, langkah kerajaan Indonesia memang tepat. Dengan menutup sempadan, mereka mengambil langkah proaktif bagi membendung dan membasmi virus yang sudah merebak di dalam negara di samping memastikan pelancong luar tidak membawa masuk virus tersebut.

Berikutan berita bahawa penerbangan carter perubatan mendarat di Pulau Pinang, ramai netizen menulis dalam media sosial untuk melahirkan kebimbangan mereka mengenai jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Indonesia dan risiko penularannya ke Pulau Pinang. Kebimbangan ini memang wajar terutama sekarang kita berdepan dengan kesan beberapa kluster Covid-19 yang berlaku di negeri-negeri jiran.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, memandang serius kebimbangan penduduk berhubung perkara ini. Sejurus selepas menyebut bahawa pelancong perubatan akan dibenarkan datang ke Pulau Pinang jika mereka mematuhi SOP yang ditetapkan, beliau kemudian berkata, Pulau Pinang tidak akan menerima pelancong perubatan berikutan kemunculan kes Covid-19 di sini. Bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa beliau akan berbincang dengan agensi-agensi yang berkenaan dan membuat keputusan mengenai perkara tersebut; menunjukkan belum ada keputusan yang diambil (ketika kenyataan ini ditulis).

Sehubungan itu, CAP ingin menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya kemasukan pelancongan perubatan pada ketika ini, terutama memandangkan virus Covid-19 muncul kembali di negara kita dan di Pulau Pinang. Malaysia, bukan sekadar Pulau Pinang, tidak seharusnya membenarkan kemasukan pelancong perubatan.

Kenyataan Akhbar, 17 Ogos 2020