Kita sekarang sedang berada di ambang keghairahan untuk balik kampung bagi menyambut Hari Raya tidak kira apa jua halangan yang ada. Bagi ramai orang, ia merupakan saat terbaik untuk bertemu sanak saudara dan menyambung silaturrahim sempena kedatangan Aidil Fitri. Namun kegembiraan itu boleh bertukar menjadi dukacita dan kesedihan bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga yang terbabit dalam kemalangan jalan raya. Sungguhpun Ops Selamat IX akan dilaksanakan sepenuhnya, apakah yang boleh kita harapkan daripada operasi seumpamanya?
Melalui pemerhatian kami, sebahagian besar operasi tersebut ternyata gagal tahun demi tahun kerana jumlah mangsa yang terkorban terus meningkat.
Menurut Ketua Polis Negara, ketika Ops Sikap 10 tahun lalu, kadar kematian purata adalah 17.2 sehari. Pada Hari Raya tahun lalu, iaitu ketika Ops Selamat dalam tahun 2015 dijalankan, angka itu meningkat kepada 22, jauh lebih tinggi daripada purata 18 kematian sehari ketika hari biasa. Sejumlah 1,450 kemalangan sehari dilaporkan dalam tempoh yang sama, berbanding 1,300 kemalangan sehari pada hari biasa. Angka kematian tertinggi dicatatkan di jalan-jalan perbandaran dan persekutuan. Penunggang motosikal menyumbang kepada 60% kadar kematian di jalan raya.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, bilangan penduduk telah meningkat sebanyak 16.8% kepada 31.2 juta, tetapi jumlah kenderaan di negara kita telah bertambah 4 kali ganda (66.8%) kepada 26.6 juta.
Apabila sikap tidak mempedulikan undang-undang sudah menjadi lumrah bagi penduduk di negara ini, bagaimanakah pihak berkuasa berharap untuk mendidik pengguna jalan raya mengenai keselamatan undnag-undang cuma dalam masa 15 hari sedangkan Ops Sikap dan Ops Selamat yang dilaksanakan sebelum ini terbukti tidak berkesan.
Sementara itu kami mengalu-alukan pengenalan sistem kereta api baru dari Utara ke Selatan di sepanjang pantai Barat dalam usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Bagaimanapun tambang bagi kereta api, bas dan teksi terlalu mahal. Tambahan pula, dengan perkhidmatan feri yang tidak boleh diharap selain terpaksa berjalan jauh, penduduk di sebelah pulau menghadapi kesulitan untuk menaiki kereta api di stesen kereta api Butterworth. Bagaimanakah keadaan seperti ini boleh menggalakkan orang ramai mendapatkan khidmat pengangkutan awam?
Sehubungan itu, CAP ingin menyarankan langkah-langkah berikut bagi mempertingkatkan keselamatan jalan raya di sepanjang musim perayaan dan amalan balik kampung ini:
- Meningkatkan “Tanggapan Akan Ditangkap” dengan meningkatkan penguatkuasaan, khususnya di sepanjang jalan perbandaran dan persekutuan (di mana kebanyakan kemalangan berlaku) dan melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik tanpa berlengah lagi. Lebih banyak pengumuman dan kempen perlu disebarkan kepada orang awam, dengan memberi amaran kepada pemandu dan penunggang kenderaan mengenai operasi polis dan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas yang lebih tegas.
- Memperlahankan aliran trafik, khusus-khususnya di kawasan-kawsan yang cenderung berlaku kemalangan dan kawasan yang padat di sepanjang jalan perbandaran dan persekutuan. Ini boleh dilakukan dengan membina bonggol dan garisan berjalur bagi memperlahankan kenderaan.
- Bagi kesalahan yang membabitkan kelajuan dan pemanduan yang tidak berhemah hingga mengakibatkan kemalangan, pemandu kenderaan perlu dikehendaki segera melakukan khidmat sosial seperti membersihkan jalan dan mencuci tandas selama seminggu, selain daripada dikenakan saman dan caj yang dikaitkan dengannya.
- Semua kenderaan awam perlu menjalani pemeriksaan mekanikal yang ketat sebelum memulakan perjalanan. Pemandu kenderaan pula perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka bukan penagih dadah, tidak pernah dikenakan saman trafik dan memiliki rekod pemanduan yang bersih di jalan raya.
- Penggunaan tali pinggang keselamatan tempat duduk di belakang perlu dikuatkuasakan.
- Semua pemandu kenderaan dan penunggang motosikal perlu berehat dan tidur dengan secukupnya sebelum memandu/menunggang kenderaan di samping tidak melakukan perjalanan pada waktu dinihari.
- Patuhi nasihat yang diberikan oleh pengendali tol berhubung masa untuk melakukan perjalanan.
- Jangan menghantar/membalas teks ataupun berbual menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Kenyataan Akhbar, 28 Jun 2016