Kekalkan Hutan: Atasi Masalah Air Penduduk Kedah

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah mengekalkan kawasan hutan dalam usaha mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di negeri ini. Selain mengambil tindakan menghentikan kegiatan pembalakan dan penerokaan kawasan hutan untuk perladangan dan pertanian berskala besar, kerajaan Kedah juga perlu mewartakan seluruh kawasan hutan di negeri ini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tujuan perlindungan sebagai tadahan air.

Aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan secara rakus telah menjejaskan kawasan tadahan air dan berlaku hakisan tanah yang serius. Manakala empangan-empangan yang terdapat di negeri ini juga menjadi semakin cetek kerana pemendapan tanah serta tidak dapat menakung air dengan banyak. CAP telah menerima banyak aduan dari penduduk-penduduk negeri ini bahawa bekalan air masyarakat (air bukit) dan air sungai yang digunakan mereka sebelum ini telah tercemar akibat kegiatan pembalakan dan kerja-kerja mengorek pasir.

Pada masa yang sama berlaku limpahan air dari empangan ke kawasan sawah ke laut. Keadaan ini turut mencetuskan kejadian banjir kilat yang kerap dan memusnahkan harta benda penduduk. CAP kesal walaupun masalah air bagi kegunaan harian penduduk dan pesawah di negeri ini sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu namun hingga sekarang tidak ada jalan penyelesaian berkesan yang dilakukan oleh pihak berkenaan.

Kawasan-kawasan yang teruk mengalami masalah ini ialah daerah Baling, Sik, Padang Terap, Pendang, Pokok Sena, Kuala Muda, Merbok, Kulim, Kubang Pasu dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Tinjauan CAP mendapati setiap tahun lebih 100,000 pengguna air di negeri ini menghadapi berbagai kerumitan berikutan ketiadaan bekalan air yang mencukupi sama ada untuk kegunaan harian atau untuk tanaman padi.

Sejak dahulu masalah ini bukannya beransur pulih malah semakin meruncing terutama pada musim kemarau. CAP turut kesal kerana banyak kampung berdekatan dengan empangan seperti di daerah Padang Terap, Sik dan Baling penduduknya tidak memperolehi bekalan air yang sempurna.

CAP juga menggesa pihak kerajaan membaikpulih paip air dan sistem saliran yang lama agar bekalan air yang disalurkan kepada penduduk lebih lancar dan berkesan. Dan pihak yang menjadi punca sumber dan bekalan air di negeri ini terjejas wajar diambil tindakan undang-undang yang tegas. Kelemahan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan sebelum ini menjadi salah satu punca isu air di Kedah berlarutan hingga sekarang.

 

Kenyataan Media, 12 Julai 2016