Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk meningkatkan usaha pembersihan longkang di Pulau Pinang untuk mencegah perebakan penyakit.
Tinjauan CAP baru-baru ini di pelbagai lokasi mendapati banyak longkang tersumbat. Ia tidak dibersihkan dan dipenuhi dengan minyak gris. Sampah yang dibuang ke dalam longkang menyebabkan ia tersumbat dan mengeluarkan bau yang busuk. Keadaan musim yang kering memburukkan lagi keadaan.
Bau longkang yang busuk memberikan imej yang buruk kepada negeri yang menjadi destinasi utama pelancongan dan ia juga mendedahkan bahaya kesihatan kepada penduduk memandangkan longkang yang kotor menarik tikus, lipas dan nyamuk.
Antara kawasan yang terjejas dengan teruknya ialah Jalan Tun Sardon, Jalan Dato Kramat, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Utama, Jalan Macalister, Jalan Gurdwara, Jalan Jones, dan kebanyakan longkang di Ayer Itam dan Bayan Baru di kawasan Pulau Pinang manakala di Seberang Perai longkang di Jalan Kampung Gajah, Jalan Bagan Luar dan Jalan Kampung Bengali adalah terjejas.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) perlu bertindak proaktif dan tidak menunggu sehingga aduan dibuat.
Longkang di Pulau Pinang perlu juga ditambahbaik bagi memenuhi kepadatan penduduk di banyak kawasan.
Kerajaan negeri juga mestilah mengarahkan agensi yang berkenaan untuk menambah baik sistem longkang yang lama sebelum sebarang projek baharu dijalankan. Ini termasuklah melebar dan mendalamkan longkang yang sedia ada supaya aliran adalah lancar tanpa sebarang halangan.
Kenyataan Akhbar, 30 Januari 2020