Perketatkan undang-undang dan penguatkuasaan serta laksanakannya tanpa mengira status sosial – CAP

Ops Selamat 16/2020  menyaksikan 171 kematian pada penghujung 11 hari operasi dijalankan. Jumlah kemalangan meningkat sebanyak 10% dari 15,464 tahun lalu kepada 16,940. Trauma yang dialami oleh ahli keluarga mangsa yang tercedera apatah lagi mangsa yang maut memang tidak dapat dibayangkan. Kemalangan jalan raya menyebabkan negara terpaksa menanggung beban RM9 bilion setahun. Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar memperketatkan undang-undang dan penguatkuasaan serta mengguna pakainya secara konsisten tanpa mengambil kira status sosial.

Musim perayaan juga menyaksikan dua kemalangan berpunca daripada mabuk ketika memandu. Menurut kajian pada masa lalu, pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah amat membimbangkan.

Sungguhpun akhirnya pihak berkuasa memutuskan untuk memperketatkan undang-undang mengenai memandu dalam keadaan mabuk, mereka seharusnya melihat keadaan di Sweden, negara Skandinavia di mana sudah menjadi satu tradisi untuk meminum alkohol sehingga mabuk.  Namun begitu, pada hari ini Sweden mempunyai kadar penyalahgunaan alkohol dan memandu dalam keadaan mabuk yang rendah di Eropah kerana kerajaan Sweden berjaya membendung budaya minum rakyatnya dan menggantinya dengan budaya memandu dalam keadaan tidak mabuk.

Di Sweden, jika seseorang meminum alkohol walau sebanyak mana pun, beliau tidak akan memandu kenderaannya. Denda dikenakan mengikut jumlah wang anda di dalam bank. Hukuman ini dirasakan agak berat;  oleh itu,  ramai yang akan berfikir dua kali jika ingin memandu selepas meminum alkohol.

Pesalah yang melakukan kesalahan berulang kali menghadapi hukuman kenderaan mereka ditarik dan dibuang. Umumnya memandu dalam keadaan mabuk dianggap jenayah berat dan penduduk Sweden mengelak daripada melakukannya.

Kenderaan kerajaan Sweden pula dilengkapi peralatan yang menghalang kunci daripada menghidupkan enjin jika dikesan sebarang kehadiran alkohol.

Di Malaysia undang-undang perlu diperketatkan dan lebih penting lagi, pihak berkuasa perlu memastikan ia dilaksanakan secara konsisten dan adil tanpa mengira kedudukan seseorang. Tabiat memberikan diskaun bagi saman yang dikenakan perlu dihentikan serta-merta. Budaya sebegini tidak patut digalakkan sama sekali.

Dalam setiap perangkaan kemalangan jalan raya, 60% kematian melibatkan penunggang motosikal. Malangnya mangsa yang maut dalam lingkungan usia 16-30 tahun. Oleh itu kerajaan perlu menggalakkan penggunaan kenderaan awam dengan menjadikannya mampu digunakan dan menyenangkan di seluruh negara.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa pengangkutan agar mengambil langkah-langkah berikut:

  1. Mengetatkan undang-undang sedia ada;
  2. Menguatkuasakan undang-undang secara konsisten dan adil;
  3. Mewajibkan pengangkutan awam dan kenderaan persendirian dipasang dengan alat pengesan alkohol yang akan menghalang pemandu mabuk daripada menghidupkan enjin keretanya;
  4. Pihak polis perlu mengawasi premis yang diketahui menganjurkan parti minum alkohol dan menguji pemandu yang meninggalkan tempat itu;
  5. Menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan pengangkutan awam.

 

Kenyataan Akhbar, 31 Januari 2020