Media dan Masyarakat Sivil Perlu Bekerjasama Supaya Suara Rakyat Terus Diangkat

Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai berucap pada majlis SM Mohamed Idris Memorial Lecture 4 di Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown. – foto BERNAMA

GEORGETOWN: Media perlu memperkukuh kerjasama dengan masyarakat sivil terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan suara rakyat terus diangkat secara berkesan dalam landskap demokrasi negara, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Beliau yang juga Pengerusi BERNAMA berkata, NGO memiliki kepakaran akar umbi dalam pelbagai isu seperti alam sekitar dan hak pengguna sekali gus menjadi sumber maklumat penting kepada media dalam membentuk naratif perbualan nasional.

“Dalam demokrasi yang sihat, media dan masyarakat sivil adalah dua tonggak utama. Kita saling bergantung untuk memberikan maklumat tepat dan membina perbahasan nasional yang matang.

“Sebagai contoh, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sangat kritikal dalam mengangkat isu-isu kepenggunaan, mendapat pengiktirafan global, menyediakan data, testimoni dan konteks yang boleh diterjemahkan media kepada laporan yang menarik.

“Kerjasama ini boleh mengukuhkan kefahaman dan pembabitan masyarakat terhadap isu-isu seperti konteks dasar, ketelusan belanjawan dan reformasi dasar iklim yang sebenarnya sukar difahami tanpa bantuan pihak berpengalaman,” katanya menyampaikan Syarahan Peringatan 4 SM Mohamed Idris di Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Katanya, perkongsian NGO-media memastikan isu serius tidak terhad kepada lingkungan dasar, ia sampai kepada orang awam dan penggubal dasar dan kita sedang bercakap tentang dua NGO berwibawa ini (CAP dan SAM) dan ia sangat penting bagi orang media seperti saya.

“Ini kerana kami sudah biasa berurusan dengan NGO yang menggelarkan diri mereka NGO, tetapi sebenarnya cuma seorang ‘NGO seorang diri’ yang mengeluarkan kenyataan dan berharap mendapat perhatian,” katanya.

Terdahulu, Chun Wai menerusi kuliah bertajuk ‘Penang – the Home of Independent Thinking’ menyifatkan Allahyarham Mohamed Idris yang mengasaskan CAP pada 1969 bukan sahaja menonjol sebagai tokoh penting Pulau Pinang malah dalam sejarah masyarakat sivil Malaysia.

Kepercayaan teras beliau adalah bahawa pemikiran kritis penting untuk masyarakat yang berdaya saing. Beliau mengajar rakyat Malaysia untuk mempersoalkan amalan pemasaran, mencabar produk tidak adil, menuntut akauntabiliti korporat dan kerajaan.

Menurutnya, kerja CAP dalam gerakan alam sekitar dan sosial membawa kepada penubuhan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Malaysia pada 1977, sebuah lagi NGO berpangkalan di Pulau Pinang yang menumpukan pada visi keadilan dan kelestarian.

“Kempen beliau menentang pencemaran dan penebangan hutan, serta advokasi beliau untuk pemakanan sihat dan amalan perniagaan yang beretika.

“Kerja beliau dipandu oleh prinsip advokasi pengguna dan memerangi amalan perniagaan yang buruk. Sebagai contoh, CAP menonjolkan pencemaran di Sungai Juru ketika sungai itu sedang nazak,” katanya.

Sumber: Berita Harian (6 Disember 2025)

Laporan asal di sini:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/12/1481470/media-sudah-biasa-berurusan-dengan-ngo-seorang-diri?