Melobi Ahli Parlimen Berhubung RUU GEG: CAP Ulangi Gesaan untuk RCI

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas wakil industri tembakau dan vape melobi Ahli Parlimen di bangunan Parlimen, menjejaskan peranannya sebagai tempat di mana undang-undang digubal. – Ganbar fail NSTP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas wakil industri tembakau dan vape melobi Ahli Parlimen di bangunan Parlimen, menjejaskan peranannya sebagai tempat di mana undang-undang digubal.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata usaha melobi itu melanggar Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), yang diratifikasi Malaysia pada 2005.

“Kami ingin tahu mengapa pembuat dasar Malaysia membenarkan industri mempengaruhi keputusan Rang Undang-undang GEG yang dicadangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Malaysia telah meratifikasi WHO FCTC pada 2005, hampir dua dekad yang lalu, namun ini boleh berlaku di tempat di mana undang-undang diluluskan. Ia amat memalukan dan mencacatkan proses perundangan,” katanya.

“Ini tidak sepatutnya diterima dalam apa cara sekalipun.”

Rang Undang-Undang GEG, atau Rang Undang-Undang Generasi Penamat, ialah satu undang-undang yang dicadangkan yang bertujuan untuk menyekat atau menghapuskan penggunaan tembakau secara berperingkat untuk generasi akan datang.

Mohideen mengalu-alukan pengakuan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni bahawa wakil industri tembakau dan vape telah bertemu Ahli Parlimen di dalam bangunan Parlimen untuk melobi pengecualian Rang Undang-undang GEG.

Beliau akhirnya mengesahkan kejadian ini yang telah berlaku sejak Oktober 2023,” katanya.

Mohideen berkata berdasarkan perkembangan baru-baru ini, mereka mengulangi gesaan mereka agar kerajaan mewujudkan RCI dalam perkara yang mempunyai kepentingan nasional ini.

“Kami ingin tahu sejauh mana ‘penyusupan’ dan ‘pengaruh’ pelobi terhadap Ahli Parlimen kami.

“Kami juga ingin tahu siapakah di sebalik usaha untuk mensabotaj GEG ini,” tambahnya lagi.

Sumber: NST (23 Disember 2025)

Cerita asal di sini:
https://www.nst.com.my/news/nation/2025/12/1343196/royal-commission-sought-after-lobbying-mps-over-geg-bill?