Menangani Kepupusan Harimau

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan berita mengenai komitmen kerajaan untuk menangani masalah pemburuan haram dengan meningkatkan lagi sumber manusia melalui batalion khas yang ditugaskan untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) dalam mengawal hutan negara.

Bilangan harimau dianggarkan hanya tinggal kira-kira 250 ekor. Ini amat membimbangkan. Semua usaha di masa lalu tidak berkesan untuk menyelamatkan harimau. Ia hanya dapat memperlahankan kadar kemerosotannya. Waktu untuk berpeluk tubuh terhadap kelenyapan hutan dan kepupusan hidupan liar kita telah lama berlalu.

Menangguhkan tindakan untuk satu lagi dekad bukan pilihan lagi. Kini tiba masanya untuk bertindak segera dalam usaha untuk mencapai visi bagi menggandakan bilangan harimau dalam tempoh 12 tahun akan datang.

Memulihkan kembali bilangan harimau memerlukan pendekatan beraneka segi termasuklah perlindungan harimau dan mangsa, zon penampan, koridor pemencaran dan menangani pelbagai masalah yang mestilah diselesaikan untuk menyelamatkan harimau termasuk menentang pemburuan haram.

Pemburuan, walaupun haram, kekal tidak berhenti-henti di seluruh negara hingga mengorbankan bilangan haiwan yang semakin pupus. Pada kadar semasa, beberapa spesies mungkin akan pupus di dalam habitatnya dalam tempoh beberapa tahun lagi. Tetapi pemburu tidak mempedulikannya, mereka melihat haiwan seperti harimau, gajah dan badak sumbu sebagai sumber kewangan. Mereka tidak hanya mensasarkan megafauna ini tetapi bersedia untuk membunuh haiwan terancam lain yang ditemui memandangkan matlamat mereka hanya untuk memperolehi pulangan lumayan. Pemburuan dan perdagangan hidupan liar haram bukan hanya masalah tempatan tetapi ia juga melibatkan sindiket antarabangsa menggunakan teknologi canggih.

Pemburuan haram mengancam untuk menghapuskan beberapa spesies yang mudahterancam daripada muka bumi ini.

Hukuman keras di bawah Akta Hidupan Liar 2010 bermaksud untuk mencegah tetapi pelakunya yang tidak bermoral dan sering terlepas daripada prospek beberapa tahun di penjara mengetahui bahawa terdapat sedikit sahaja kemungkinan untuk ditangkap. Undang-undang hanya di atas kertas dan pihak berkuasa kekurangan pembiayaan dan sumber manusia, terus bersikap seperti bermain permainan kucing dan tikus dengan penyeludup yang sering lari mengelilingi mereka.

Pemburuan haram mengancam dan akan terus berlaku disebabkan kurangnya keutamaan politik dan ia merupakan satu perniagaan yang lumayan. Gelombang semasa pemburuan haram dijalankan oleh rangkaian penjenayah terancang dan canggih menggunakan peralatan melihat pada waktu malam, ubat penenang dan alat peredam bunyi untuk membunuh haiwan pada waktu malam, mengelak daripada kawalan penguatkuasa undang-undang. Pemburu komersial dilengkapi dengan teknologi pengesan, senjata berkuasa tinggi, dan laluan pengangkutan tersembunyi untuk melepasi penjaga hutan dalam kawasan yang dilindungi. Untuk mengatasi perkara ini, pihak berkuasa hidupan liar memerlukan lebih banyak penjaga hutan di lapangan untuk mencegah pemburu dan menguatkuasakan undang-undang hidupan liar.

Kementerian Sumber Asli mempertimbangkan untuk mengadakan dasar menembak untuk membunuh yang juga menyebabkan kebimbangan. Bagaimanapun, ia bukan satu penyelesaian kepada krisis pemburuan haram. Penjaga hutan antipemburuan haram mestilah mengambil semua langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan membunuh pemburu kerana ia lebih bermanfaat untuk menangkap dan menahan pemburu, kerana ini akan dapat memberikan peluang untuk memperolehi maklumat bernilai mengenai siapakah yang mendalangi mereka, mengetahui rantaian bekalan dan laluan penyeludupan. Membunuh pemburu hanya mendapat sedikit pencapaian dalam bentuk mengurangkan bilangan insiden pemburuan haram; ia hanya boleh menyediakan pencegahan sementara, atau langkah yang dilihat sebagai lebih lembut. Sindiket boleh dengan mudah mencari orang lain yang sanggup untuk mengambil risiko.

Jika pemburu enggan membuang senjata mereka maka penjaga hutan mungkin boleh menembak mereka. Dasar menembak untuk membunuh hanya perlu digunakan sebagai pilihan akhir dan hanya bagi tujuan mempertahankan diri. Tetapi yang sedihnya, dalam keadaan ini sudah pasti akan terdapat kehilangan nyawa dalam tembak menembak.

Adalah lebih baik jika penjaga hutan mempunyai latihan yang sewajarnya dan sumber untuk membuat tangkapan dan merasa yakin bahawa undang-undang akan menghukum ketua sindiket yang menjalankan perdagangan haram.

Mestilah terdapat pengurusan hutan kita yang lebih sempurna dengan kawalan yang lebih kerap bagi menghentikan pemburu daripada menjarah hutan dan hidupan liar kita. Masa amat penting dalam memberikan kesan perubahan kepada persepsi dan dasar serta cabaran kehendak pengguna bagi ubatan tradisional, bahagian anggota badan dan kulit harimau.

Harimau yang hidup mestilah dilihat lebih bernilai daripada yang mati.

 

Surat Kepada Pengarang, 28 Ogos 2019