Mengapa nikotin tergolong dalam Akta Racun

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua Ahli Parlimen supaya menyokong Lembaga Racun dalam mengekalkan nikotin sebagai bahan terkawal di dalam Akta Racun.

Kami menggesa kerajaan supaya meluluskan rang undang-undang Generasi Penamat (Generational End Game [GEG]) yang bertujuan untuk melarang tembakau dan vape bagi sesiapa yang dilahirkan selepas 2007 tanpa sebarang perubahan pada kandungan asal. Seruan untuk GEG adalah berdasarkan peristiwa semasa dan bukti saintifik.

Membenarkan Sistem Penyampaian Nikotin Elektronik (ElectronicNicotine Delivery Systems [ENDs]) dan Produk Tembakau yang Dipanaskan (Heated Tobacco Products [HTPs]) akan menjejaskan objektif Rangka Kerja Konvensyen mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyahnormalkan merokok dan penggunaan tembakau.

Pada masa ini nikotin dikategorikan sebagai racun Kumpulan C yang memerlukan ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan, pergigian atau veterinar berdaftar untuk menjual sebarang bentuk penyediaan yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun (PA) 1952.

Jalan ke hadapan untuk membendung ketagihan nikotin pada masa depan dalam kalangan generasi akan datang adalah dengan mencontohi orang Australia. Mulai 1 Oktober 2021, semua produk vape nikotin, seperti e-rokok nikotin, pod nikotin dan cecair nikotin,  dikelaskan di bawah ubatan Jadual 4 (preskripsi sahaja). Oleh itu, seseorang itu tidak boleh membeli mana-mana produk tanpa preskripsi doktor.

Keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia. Pusat Racun Negara (NPC), Universiti Sains Malaysia (USM) melaporkan 66 panggilan keracunan berkaitan vape antara Januari 2015 dan Ogos 2022. Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun, paling muda 4 bulan.

Dengan beribu-ribu jenis e-cecair membanjiri pasaran yang dijual oleh 3,300 peruncit, adalah mustahil untuk memantau kepekatan nikotin bagi setiap botol atau jenama. Menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) terdapat lebih daripada 97% e-cecair dengan nikotin di dalam pasaran tempatan.

Kajian di Eropah menunjukkan banyak sampel yang diperolehi daripada pasaran menunjukkan kebanyakannya melebihi 10% daripada jumlah nikotin yang ditetapkan.

Adakah Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut rentak teknik jualan pengedar bahan beracun yang boleh menagihkan?

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Kenyataan Akhbar, 5 April 2023