Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan pihak polis agar memperhebatkan usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan bunga api dan mercun yang berleluasa di seluruh negara.
CAP telah mendesak pihak berkuasa agar mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah termasuk hukuman penjara sejak lebih dua dekad lalu. Kami percaya jika penguatkuasaan dipertingkatkan, penyeludupan barangan tersebut boleh dibendung manakala pengeluaran keluar ringgit juga boleh disekat.
Mei lalu, pegawai penguatkuasa Kastam Kelantan telah menyita mercun dan bunga api bernilai RM151,160 dan menahan seorang pemandu lori berhubung kes tersebut. Dalam kejadian ini, jika penyeludupan berjaya dilakukan, mereka yang membeli bahan letupan itu kemudian akan didakwa melanggar Akta Bahan Letupan 1957 dan pihak Kastam akan mengalami kerugian RM98, 254 dalam bentuk cukai.
Kejadian penyeludupan, pengedaran dan penjualan mercun dan bunga api hanya dapat dihentikan menerusi penguatkuasaan yang tegas dan dengan kerjasama orang awam tidak membelinya. Di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan1957, sesiapa yang didapati mengeluar, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada lima (5) tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Perlanggaran undang-undang sedia ada untuk mencegah penyeludupan, pengedaran, dan penjualan mercun dan bunga api secara terbuka jelas tidak diberikan perhatian serius oleh pesalah.
Sehubungan itu, undang-undang perlu dipinda untuk turut memasukkan butir-butir berikut:
- Hukuman penjara mandatori bagi penyeludup termasuk merampas properti dan aset miliknya;
- Kenderaan yang mengangkut mercun dan bunga api perlu disita dan dilelong bagi tabung negara.
Keghairahan orang ramai bermain bunga api dan mercun secara terbuka juga jelas menunjukkan polis tidak berupaya menghalangnya. Justeru tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang didapati bermain mercun dan bunga api. Denda dan hukuman penjara yang berat perlu dikenakan ke atas peruncit dan mereka yang ditangkap bermain mercun dan bunga api. Ibu bapa kanak-kanak yang ditangkap membeli dan bermain mercun dan bunga api perlu bertanggungjawab terhadap perlakuan anak mereka.
Mercun dan bunga api selain mengeluarkan bunyi bising yang membingitkan telinga turut berpotensi menyebabkan kebakaran. Kanak-kanak khususnya mudah mengalami kecederaan. Mercun dan bunga api yang dipasang juga menyebabkan kerosakan harta benda dan nyawa. Tambahan dengan adanya bahan letupan seperti itu, pembeli boleh mengeluarkan campuran bahan letupan di dalam mercun dan bunga api untuk menghasilkan bahan letupan mereka sendiri hingga mendatangkan musibah.
Kebelakangan ini mercun bukan sahaja dibakar ketika menyambut sesuatu perayaan malah ia turut diletupkan ketika perarakan mengusung jenazah, perkahwinan dan sambutan hari lahir. Sekiranya penguatkuasaan lebih tegas dilakukan, sudah pasti kes penyeludupan dan penjualan bahan letupan tersebut dapat dibendung.
Sehubungan dengan Hari Raya yang bakal menjelang, CAP menggesa penguatkuasaannya dilakukan dengan kerap dan lebih tegas. Bermain mercun dan bunga api hanya membakar wang hasil titik peluh cuma dalam masa beberapa minit sahaja.
Kenyataan Akhbar, 12 Jun 2018