Mikroplastik Ditemui Jauh Di Dalam Tulang Manusia, Boleh Memburukkan Osteoporosis

Gambar: Plastic Pollutes

Sisa plastik bukan sahaja mencemarkan lautan tetapi ia turut menyusup ke dalam tubuh kita dengan cara yang baharu dibongkar oleh saintis.

Dalam kajian saintifik baharu, yang diterbitkan dalam jurnal Osteoporosis International, penyelidik meneliti 62 kajian untuk menentukan kesan mikroplastik yang diketahui pada tulang manusia dan haiwan.

Mereka mendapati bahawa mikro dan nanoplastik boleh membahayakan kesihatan tulang dalam pelbagai cara, termasuk:

> Menjejaskan fungsi sel stem sumsum tulang

> Mempercepatkan penuaan sel

> Menggalakkan keradangan

> & banyak lagi

Mikroplastik dalam tulang bukan sahaja boleh melemahkan struktur rangka dan mempercepatkan penuaan sel, kajian baru-baru ini juga menunjukkan bahawa zarah-zarah ini boleh memburukkan lagi penyakit tulang metabolik seperti osteoporosis, risiko yang amat membimbangkan kerana patah tulang dijangka meningkat dengan mendadak dalam dekad akan datang.

Pengeluaran dan penggunaan lebih 400 juta tan plastik setiap tahun telah mencemarkan pantai, sungai, dan juga bahagian paling dalam lautan, mencapai kedalaman sehingga 11,000 meter. Selain kesan alam sekitar yang boleh dilihat, plastik menyumbang kepada perubahan iklim. Dianggarkan pengeluaran plastik menghasilkan 1.8 bilion tan gas rumah hijau setahun.

Bukti saintifik juga menunjukkan bahawa penggunaan bahan plastik dalam kehidupan seharian telah memberi kesan kepada kesihatan manusia. Sebilangan besar zarah plastik tertanggal daripada langsir, perabot, pakaian dan objek plastik lain. Zarah-zarah ini kekal terampai di udara, larut dalam air minuman, melekat pada makanan, dan boleh dihidu, ditelan atau bersentuhan dengan kulit orang.

Selain tulang manusia, mikroplastik juga telah ditemui dalam darah manusia, otak, plasenta, dan susu ibu.

Rujukan: Science Daily (19 September 2025); Plastic Pollutes (24 September 2025)

Baca lagi:
https://www.sciencedaily.com/releases/2025/09/250918225014.htm