Kisah ini diceritakan oleh Sir John Kotelawala kepada Dr Ariyaratme, pengasas Pergerakan Sarvodaya, dalam “Bhava Thanha: An Autobiography, Vol 1, oleh A. T. Ariyaratme.
“Di sebuah negara terdapat satu pasangan muda yang tinggal di dalam sebuah pondok lumpur yang dikelilingi oleh hutan. Apabila bangun setiap pagi, mereka akan mencari sesuatu untuk dimakan, membawa bekal untuk makan tengah hari dan memasuki hutan dengan membawa pisau, kapak dan tali sabut. Sepanjang hari mereka menebang pokok. Sebelum kembali ke rumah mereka akan memberi penghormatan kepada Dewa dengan menyalakan lampu minyak tanah. Begitulah dengan kehidupan mereka yang berjalan terus dan mereka semakin berusia hari demi hari. Tetapi kebahagiaan mereka tidak pernah pudar. Mereka hidup secara bebas.
Pada satu hari, Dewa pokok itu berasa kasihan terhadap pasangan itu. Dia merenung: ‘Selama 50 tahun pasangan ini telah menyalakan lampu untuk saya dan menyembah saya. Apakah yang telah saya lakukan untuk mereka sebagai balasan?’ Dewa itu membuat keputusan untuk memberikan mereka sesuatu sebagai balasan.
Satu hari selepas pasangan itu selesai melakukan tugasan mereka di hutan itu, dan makan tengah hari, mereka menyalakan lampu untuk Dewa pokok. Apakah yang mereka lihat? Di dalam watti (bakul) yang diletakkan di pangkal pokok, terdapat batu permata berkilauan.
‘Oh! Akhirnya Dewa telah memberikan ganjaran kepada kita,’ seru mereka. Mereka terus membungkus batu permata dalam kain, meninggalkan peralatan dan berkas kayu di sana dan terus pulang ke rumah.
Malam itu si isteri memasak makanan yang paling sedap untuk suaminya. Lelaki itu menggali satu lubang berdekatan perigi dan kemudiannya mandi. Isterinya turut ke perigi itu untuk membersihkan diri. Lelaki itu mengambil kayu dan memukul kepala isterinya hingga mati, dia kemudiannya memasukkan tubuh isterinya ke dalam lubang, mengambusnya, membersihkan dirinya dan pulang ke rumah dengan gembira.
Kemudian dia mula makan malam. Selepas beberapa suapan dia juga mati. Wanita itu telah menambah racun ke dalam makanannya, dengan harapan untuk membunuhnya supaya dia boleh berkahwin dengan lelaki lebih muda.”