Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat terkejut dan kecewa mendapat tahu mengenai misteri kehilangan sepasang beruang dari Taman Rekreasi Air Panas Tawau, Sabah.
Berita kesengsaraan beruang itu hanya terdedah apabila ia didedahkan oleh Nature Alert dan NGO Malaysia lain pada Oktober 2015.
Gambar video beruang itu amat mengejutkan memandangkan ia berada dalan keadaan bertentangan dalam penjara besi kosong, dengan tanda tingkah laku psikotik yang teruk. Keadaan ini berterusan tanpa berakhir, malah lebih buruk beruang ini hanya diberikan air dari hos yang diberikan oleh penjaganya. Keadaan ini amat buruk sehingga penyelamat dipanggil supaya beruang itu dipindahkan ke pusat pemuliharaan.
Walaupun kesengsaraan hidup beruang itu didedahkan dalam media tempatan melalui surat kepada editor oleh NGO, SAM amat terkejut oleh kurangnya tindakan dan perhatian daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Menteri Pelancongan Sabah.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak seharusnya dibiarkan oleh masyarakat seperti kita yang menunjukkan Malaysia merupakan negara ke 10 paling pemurah, tetapi rakyat Malaysia kekurangan kasih sayang bagi makhluk lain. Mengurung beruang dalam tempoh yang lama tanpa sebarang tindakan atau perhatian dari pihak berkuasa dan orang ramai adalah satu keadaan yang tidak menunjukkan perasaan kasih sayang.
Terbaharu SAM mendapat tahu bahawa beruang itu telah dilepaskan ke hutan oleh pihak pengurusan Taman Rekreasi Air Panas Tawau bagi mengelakkan kritikan oleh NGO dan orang ramai tanpa memikirkan keperluan kelangsungan hidup beruang itu. Pihak Taman Rekreasi Air Panas itu perlu bertanggungjawab kerana dengan begitu mudah melepaskan dua ekor beruang itu tanpa pemulihan atau mendapatkan nasihat daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah sebelum melepaskannya. Jabatan Hidupan Liar Sabah juga perlu bertanggungjawab kerana tidak mengambil serius kebajikan beruang yang ditangkap walaupun terdapat banyak aduan dan membenarkan Taman Rekreasi Air Panas Tawau itu membuat keputusan sendiri.
Taman Rekreasi Air Panas Tawau hanya berminat untuk memelihara beruang itu bagi menarik orang ramai dengan mengabaikan keperluan dan kebajikan dua ekor haiwan itu. Apabila mereka tidak tahan dengan kritikan maka pilihan terbaik ialah melepaskannya dengan membiarkan ia mati sendiri.
SAM amat kecewa mendapat tahu bahawa antara rancangan masa depan bagi taman itu ialah zoo mini yang mempamerkan haiwan eksotik. Cukuplah setakat ini. Semua pusat peranginan, hotel atau tempat yang menjadi tumpuan awam tidak seharusnya dibenarkan untuk memelihara hidupan liar sebagai tarikan pelancong.
SAM memerlukan jawapan daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah tentang bagaimana dan di mana beruang itu dilepaskan dan adakah terdapat sebarang usaha untuk menghubungi pihak pengurusan Taman Rekreasi Air Panas Tawau.
Surat Kepada Pengarang, 12 Januari 2016