Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) sedih mendengar tiga mangsa ditemui mati di beberapa lokasi sekitar Gunung Jerai di Yan selepas kejadian banjir semalam.
Banjir dan tanah runtuh yang berlaku adalah dilaporkan tercetus oleh fenomena kepala air di kawasan air terjun berdekatan Gunung Jerai. Penduduk yang terjejas di sini menjelaskan limpahan air umpama empangan pecah atau tsunami kecil dengan aliran air yang pantas membawa bersama lumpur, sampah sarap, balak, pokok tumbang dan sisa.
Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Md Nor dilaporkan oleh media sebagai menafikan dakwaan bahawa banjir yang berlaku itu disebabkan oleh aktiviti pembalakan. Ia mungkin bukan pembalakan tetapi yang pasti ialah penebangan pokok dan pembersihan hutan. Banjir lumpur yang dilihat di dalam video mengenai insiden itu jelas menunjukkan kesan daripada aktiviti pembersihan tanah.
Kami bersama penduduk di Bukit Singkir, Yan telah membantah projek kuari di Hutan Simpan Gunung Jerai lebih daripada 15 tahun lalu. Kuari itu dibenarkan beroperasi oleh Kerajaan Negeri Kedah ketika itu walaupun melanggar Rancangan Tempatan Yan. Tambahan, tidak seharusnya terdapat sebarang pembersihan hutan di kawasan sensitif alam sekitar ini tetapi imej daripada Google menunjukkan banyak pokok telah ditebang dan operasi melombong berjalan.
Semua aktiviti yang memusnahkan di kawasan ekosistem yang mudah terjejas ini perlu dihentikan dengan segera, disiasat dan langkah pemulihan perlu diambil untuk mencegah jejak kemusnahan seperti aliran lumpur, tanah runtuh dan banjir.
Ia satu peringatan serius dan Menteri Besar mestilah bertindak dan tidak melihat ini sebagai satu takdir memandangkan tragedi ini berlaku berikutan operasi syarikat yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri walaupun berlawanan dengan Rancangan Tempatan Daerah Yan.
Gunung Jerai merupakan kawasan sensitif alam sekitar yang mesti dilindungi dan tidak dimusnahkan. Semasa hujan lebat jumlah besar kelodak akan dibawa turun daripada cerun yang telah dilemahkan oleh penebangan hutan dan peningkatan aktiviti yang memusnahkan di sini.
Laporan terkini Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim sudah pun menunjukkan bahawa hujan lebat dan kerap akan banyak berlaku akibat pemanasan global. Apa yang Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu lakukan ialah bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membina daya tahan iklim dan mengambil langkah-langkah wajar termasuk menghentikan pembersihan tanah dan hutan terutamanya di kawasan alam sekitar yang sensitif dan tanah tinggi.
Kita tidak harus meneruskan aktiviti seperti biasa seperti sebelum ini. Apa yang berlaku di Yan dengan banjir besar dan penuh tragedi ini perlu dijadikan contoh. Kita perlu menghormati alam semula jadi, mengakui akan ada batasannya dan mengambil langkah mitigasi serta pencegahan yang sewajarnya dengan segera.
Kami menggesa Kerajaan Negeri agar mengadakan siasatan awam bebas terhadap tragedi ini supaya kita dapat memahami sebab sebenar kejadian dan juga di mana kelemahan serta apakah langkah pencegahan dan pemulihan yang mesti diambil.
Kenyataan Media, 19 Ogos 2021