NGO terkilan dengan aktiviti penebangan hutan di Kompleks Hutan Ulu Muda

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (seperti yang tersenarai di bawah) amat terkejut dan terkilan dengan aktiviti penebangan hutan baru-baru ini di kawasan Kompleks Hutan Ulu Muda.

Berdasarkan imej satelit, antara Mei dan November 2020, kira-kira 87 ekar (0.35 kilometer persegi) hutan berdekatan Tasik Ahning, di Hutan Simpan Bukit Keramat telah ditebang habis dan diteres seperti untuk dijadikan ladang. (Lihat gambar).

Imej itu juga mendedahkan kawasan yang ditebang dan diteres terlebih dahulu hampir dengan kawasan aktiviti penebangan hutan terbaharu.

Kami menggesa kerajaan negeri Kedah menjelaskan dengan segera apakah yang sedang berlaku, memandangkan Menteri Besar Kedah baru-baru ini telah menyatakan bahawa kawasan Hutan Ulu Muda akan dilindungi sebagai kawasan hutan tadahan air di mana sebarang  aktiviti pembalakan tidak dibenarkan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor telah memberitahu Dewan Undangan Negeri Kedah pada Ogos tahun ini bahawa kerajaan negeri akan meneruskan dasar mengekalkan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan hutan tadahan air dan tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan untuk manfaat 4.2 juta orang di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang untuk kegunaan domestik, pertanian dan industri. Dengan itu kami merasa amat bimbang dengan perkembangan semasa di sini seperti yang dipaparkan di imej satelit.  Aktiviti penebangan hutan sedemikian akan menjejas keupayaan kerajaan negeri menerima dana kerajaan Persekutuan bagi perlindungan hutan dari sumber seperti Pemindahan Fiskal Ekologi bagi Pemuliharaan Biodiversiti (Ecological Fiscal Transfer – EFT) yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021. EFT akan menyediakan sebanyak RM70 juta untuk negeri-negeri bagi melindungi hutan mereka .

Kami difahamkan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bahawa pada 2019 sejumlah RM60 juta disalurkan ke negeri-negeri untuk melindungi hutan mereka. Kami tidak pasti berapa jumlah yang telah disalurkan kepada Negeri Kedah.

Kami difahamkan bahawa Kerajaan Persekutuan juga mengambil langkah selanjutnya untuk menyokong kerajaan-kerajaan negeri di bawah Rangka Kerja Kewangan Pengurangan Pelepasan daripada Penebangan Hutan dan Kemerosotan Hutan (Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation -REDD Plus) dengan memperuntukkan dana selanjutnya.

Kami sekali lagi mengulangi gesaan supaya kerajaan negeri Kedah memantau aktiviti penebangan hutan, menghentikan segera pembalakan dan kelulusan penukaran hutan untuk perladangan atau kegunaan lain yang berpotensi memusnahkan alam semula jadi di Kompleks Hutan Ulu Muda.

Kami ingin menekankan bahawa tujuan dana daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Kedah adalah untuk mengekalkan kelangsungan Kompleks Hutan Ulu Muda demi ekosistemnya yang amat bernilai serta sumbangannya termasuklah dalam memastikan jaminan keselamatan air, mengawal iklim dan melindungi biodiversiti.

Dengan melindungi hutannya, Kerajaan negeri Kedah juga memainkan peranan kritikal menyokong Malaysia dalam melaksanakan komitmen antarabangsanya di bawah Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim dan Konvensyen Biodiversiti. Kerajaan Kedah tidak harus melemahkan usaha itu dengan membenarkan pembalakan di hutan-hutan dalam Kompleks Hutan Ulu Muda.

Kenyataan ini disokong oleh pertubuhan-pertubuhan berikut:

  1. Ecotourism & Conservation Society of Malaysia (ECOMY)
  2. Forum Kedah Sejahtera dan Harmoni
  3. Gerakan Merbok Bangkit Kedah
  4. GreenSmiths
  5. Jaringan Penggerak Melayu Desa Negeri Kedah
  6. Jaringan Pengguna Lestari Kedah
  7. Jaringan Taawun ‘alal Birri Wattaqwa Sungai Petani
  8. Majlis Muafakat Muslimah Masjid Kedah
  9. Malaysian Cave and Karst Conservancy (MCKC)
  10. Persatuan Alam Sekitar Kedah
  11. Pertubuhan Dhuafa Sejahtera Kedah
  12. Persatuan Peduli Dhuafa dan Pengupayaan Masyarakat
  13. Persatuan Pencinta Alam Malaysia – Cawangan Pulau Pinang
  14. Persatuan Pengguna Pulau Pinang
  15. Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS MALAYSIA)
  16. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Kedah
  17. Rangkaian Petani Lestari Alam
  18. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  19. Treat Every Environment Special (TrEES)
  20. Water Watch Penang (WWP)
  21. Yayasan Aman Kedah
  22. Yayasan Pendidikan Orang Asli Malaysia

Kenyataan Media, 25 November 2020

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.