Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar menarik semula daging beku import dengan segera dari pasaran kerana pengguna Islam dikhuatiri tanpa sedar memakan daging yang Tidak Halal.
Gesaan ini dibuat sebagai maklum balas kepada laporan yang menyebut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah merampas 1,500 tan daging beku bernilai RM30 juta dari sebuah bilik stor di Senai, Johor. Menurut laporan tersebut, daging itu diimport dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina. Daging yang tidak halal itu kemudian dibungkus semula dan dilabelkan sebagai daging Halal sebelum ia diedarkan ke seluruh negara. (Sinar Harian, 2/12/2020)
Ini bukanlah rampasan pertama daging beku import yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
> Pada Jun tahun ini, pihak berkuasa Malaysia telah merampas daging beku bernilai lebih RM80,000 di Pasir Mas, Kelantan dari negara jiran.
> Pada 2018, pihak berkuasa menemui 273 kotak berisi daging beku dari Brazil seberat 5,106 kg bernilai RM72, 840 dengan cukai bernilai RM7,284.
Disebabkan harga daging tempatan yang mahal, restoran dan tempat makan lain menggunakan daging beku import dalam makanan yang dihidang kepada pelanggan. Pengeluar daging yang diproses turut menggunakan daging beku import dalam produk mereka.
Justeru itu, kita tidak boleh menganggap bahawa daging berlabel ‘Halal’ itu benar-benar halal. Pengguna dinasihatkan agar tidak membeli daging beku import dan produk daging yang diproses sehingga pihak berkuasa dapat memastikan bahawa daging beku yang beredar di pasaran adalah daging yang Halal.
Sehubungan dengan laporan terbaharu mengenai penyeludupan daging beku import di negara ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar:
> Menarik semula daging beku yang diimport dari pasaran
> Mengambil tindakan tegas terhadap penyeludup daging beku import kerana ia melibatkan soal akidah orang Islam.
Kenyataan Akhbar, 2hb. Disember 2020