Pandemik Covid-19 Adalah Bom Jangka Psikologi

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin mengenai kesan pandemik Covid-19 ke atas kesihatan mental orang ramai memandangkan kes bunuh diri semakin meningkat sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Menurut laporan media, statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa 266 orang membunuh diri antara 18 Mac dan 30 Oktober 2020. Dalam tempoh yang sama bilangan kematian Covid-19 di Malaysia (termasuk warga asing) ialah 249. Oleh itu, bilangan kematian akibat bunuh diri bersamaan dengan 94 peratus daripada kematian Covid-19.

Kes bunuh diri dikaitkan dengan masalah hutang yang menjadi faktor penyumbang terbesar diikuti oleh masalah keluarga dan sengketa rumah tangga. Rasa tidak berdaya dalam situasi pandemik bukanlah sesuatu yang unik kepada rakyat Malaysia. Laporan baru-baru ini mendedahkan bahawa lebih daripada 40 pekerja asing telah membunuh diri.

Perasaan yang tidak berdaya bagi mendepani dengan kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan, masalah hutang, atau kematian seseorang dalam keluarga akibat penyakit adalah beberapa penyebab memandangkan terdapat ketidakpastian yang masih ada tentang bilakah pandemik itu akan berakhir.

Lebih-lebih lagi, terdapat keperluan pengubahsuaian tingkah laku untuk disesuaikan dengan ‘kebiasaan baharu’ seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka, membasuh tangan, dan mengelakkan tempat sesak. Dalam psikologi, perubahan tingkah laku jangka panjang merupakan salah satu cabaran yang paling sukar.

Kami mencadangkan kerajaan supaya:

> Menyebarkan maklumat mengenai tanda-tanda stres dan kemurungan yang boleh membawa kepada kecenderungan untuk membunuh diri.

> Meminta ahli keluarga atau rakan untuk membantu seseorang yang menghadapi krisis menghubungi talian hotline yang menawarkan khidmat kaunseling.

> Menerbitkan senarai talian hotline agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

> Menggalakkan kedutaan dan konsulat untuk mempunyai talian hotline mereka sendiri, sekurang-kurangnya sewaktu pandemik, supaya pekerja asing yang mempunyai dokumen dan tidak mempunyai dokumen boleh mendapatkan bantuan.

Ia bukan satu petanda yang baik jika bilangan kes membunuh diri hampir sama atau lebih daripada mereka yang mati akibat Covid-19. Kerajaan perlu membantu menyebarkan maklumat yang diperlukan dalam mencegah berlakunya kejadian bunuh diri dengan meluas dan mudah untuk diperolehi daripada bergantung kepada media cetak yang terhad capaiannya.

 

Kenyataan Akhbar, 7 Disember 2020