Penemuan Merkuri di Ladang Kelapa Sawit di Pulau Pinang Membimbangkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat bimbang dengan penemuan merkuri di bilik meter air terbiar dalam ladang kelapa sawit di Bukit Tok Alang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini. Kami menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat bagaimana merkuri itu berada di kawasan ladang, lebih-lebih lagi kerana pencemaran merkuri membawa ancaman yang serius kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Dilaporkan bahawa pelajar dari sebuah sekolah menengah di Guar Perahu yang menemui merkuri itu telah mengambil kira-kira 300ml bahan berbahaya itu ke sekolah mereka dalam beg plastik. Tumpahan bahan itu mengakibatkan 56 pelajar dikuarantin dan 16 penduduk dari enam rumah di Kampung Baru dimasukkan ke hospital. Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat kemudiannya membersihkan kawasan-kawasan yang terjejas itu.

Dokumen panduan yang disediakan bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menyatakan: “Sasaran utama bagi keracunan merkuri dan sebatian merkuri adalah sistem saraf, buah pinggang, dan sistem kardiovaskular. Pada umumnya diterima bahawa sistem organ yang masih berkembang (seperti sistem saraf janin) adalah paling sensitif kepada kesan toksik merkuri.”

Disebabkan merkuri adalah bahan cemar global, tiada sesebuah negara boleh bertindak sendirian untuk melindungi rakyat mereka dan alam sekitarnya daripada bahaya yang disebabkan oleh pencemaran merkuri. Oleh itu, Konvensyen Minamata mengenai Merkuri, yang merupakan perjanjian kawalan merkuri yang terikat dengan perundangan, diterima pakai pada Oktober 2013. Ini merupakan langkah penting dalam mengawal pencemaran merkuri di seluruh dunia dan merupakan konsensus global bahawa tindakan diperlukan untuk mengurangkan dan menghapuskan emisi dan pelepasan merkuri.

Malaysia telah menandatangani Konvensyen Minamata mengenai Merkuri pada 24 September 2014. Konvensyen tersebut mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan seluruh kitaran hayat merkuri, termasuk kawalan dan pengurangan yang meliputi pelbagai produk, proses dan industri di mana merkuri digunakan, dilepaskan atau dikeluarkan. Ia juga menangani antara lain eksport dan import merkuri, simpanan selamat dan pelupusan sebagai sisa.

Analisis situasi negara perlu dilakukan untuk meneliti situasi domestik dan untuk menghasilkan inventori penggunaan merkuri, penyimpanannya, emisi anthropogenik ke udara dan pelepasan merkuri dan sebatian merkuri ke air dan tanah.

Penemuan di ladang kelapa sawit ini menimbulkan kebimbangan bahawa terdapat penyimpanan atau pembuangan secara haram merkuri yang tidak dikehendaki atau sisa merkuri di negara ini. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mestilah mengambil perhatian akan situasi ini dan melaksanakan pelan tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu ini.

Pendidikan awam dan meningkatkan kesedaran terhadap keracunan merkuri amat diperlukan sepertimana yang kita boleh lihat di dalam kes ini di mana pelajar-pelajar tersebut mungkin menganggap bahawa bahan itu selamat untuk bermain dengannya. Kami juga menggesa kerajaan Malaysia mendedahkan kepada umum langkah yang sedang diambil untuk melindungi kesihatan awam dan alam sekitar daripada keracunan merkuri.

 

Surat Kepada Pengarang, 31 Mei 2016