Pengharaman Mercun – Dibenarkan atau Diharamkan?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kastam dan Polis meningkatkan penguatkuasaan ke seluruh negara terhadap penyeludupan dan penjualan bunga api dan mercun. Jika penguatkuasaan ditingkatkan, penyeludupan dan penjualan barangan seludup boleh dikawal.

Tinjauan CAP berhubung isu ini mendapati barangan seludup ini dijual secara terbuka di kawasan seperti Bayan Baru, Jelutong, Ayer Itam, Lip Sin, Sungai Dua, Pulau Tikus dan Komtar. Harganya antara RM10.00 hingga RM40.00 sekotak mercun dan beberapa bunga api boleh mencapai harga RM100 ke RM200. Lebih mengejutkan lagi ialah beberapa orang remaja kelihatan menjual barangan seludup ini.

Di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, sesiapa yang didapati mengeluar, mengimport atau memiliki mercun dan bunga api boleh dipenjarakan tidak kurang lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Mercun dan bunga api yang boleh perolehi dengan mudah dan murah hari ini jelas menunjukkan undang-undang  tidak dikuatkuasakan dengan berkesan dan tidak dipandang serius oleh mereka yang melanggarnya.

Sehubungan itu, undang-undang perlu dipinda  untuk memasukkan juga perkara berikut:

  1. Hukuman penjara mandatori bagi penyeludup termasuk merampas harta dan aset mereka;
  2. Kenderaan di mana barangan seludup ditemui perlu dirampas dan dilelong.

Selain mengganggu orang awam, mercun dan bunga api ini juga berpotensi menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada harta-benda serta kehilangan nyawa. Lupakah kita kepada kejadian lepas yang melibatkan kanak-kanak kehilangan anggota badan dan dalam beberapa kes sehingga kehilangan nyawa?

Sejak akhir-akhir ini, telah menjadi satu trend untuk bermain mercun dan bunga api ketika majlis perayaan seperti ketika perarakan pengebumian, perkahwinan, malah sambutan hari lahir.

Sehubungan itu, CAP menggesa denda yang lebih berat dan hukuman penjara perlu dikenakan ke atas mereka yang membeli dan bermain dengan mercun dan bunga api. Ibu bapa juga perlu bertanggungjawab jika anak-anak mereka ditangkap membeli dan bermain dengan barangan seludup ini.

Memandangkan Tahun Baharu Cina semakin hampir, CAP menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang dan membuat pemeriksaan dengan kerap untuk mengharamkan barangan seludup berbahaya ini.

 

Kenyataan Akhbar, 3 Februari 2016