Tidak lama selepas CAP mengetengahkan isu TM mengenakan caj RM5.00 untuk bil bercetaknya mulai Januari 2016, TM dalam satu perbincangan dengan CAP berkata, ia sedang menimbang semula kaedah penghantaran bil kepada pelanggannya.
Selain itu, dalam jawapan balas kepada surat-surat yang kami hantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), kedua-dua pihak mengesahkan bahawa TM telah mengubah suai terma-terma bagi caj bil bercetak yang dikeluarkannya.
Terma baru caj bagi bil bercetak TM adalah seperti berikut:
- Pembilan elektronik (e-bil) mulai Januari 2016 bagi pelanggan yang melanggan Internet/Jalur Lebar (Streamyx dan Unifi) sahaja.
- Bagi pelanggan Internet/Jalur Lebar yang ingin mendapatkan bil bercetak sebagai pilihan tambahan, TM telah mengurangkan yuran minimumnya sebanyak RM2.00 untuk menampung kos percetakan.
- Pelanggan telefon talian tetap TM yang tidak melanggan dengan mana-mana perkhidmatan Jalur Lebar (suara sahaja) akan terus menerima bil bercetak secara percuma.
Pengguna kini boleh memilih bagaimana mereka mahu menerima bil TM masing-masing.
Kenyataan Akhbar, 29 Januari 2016