Peniaga Kereta Perlu Berkongsi Teknologi Pembaikan Kenderaan Dengan Bengkel Kereta Bebas

Pemilik kereta Malaysia berada dalam dilema. Mereka tidak dapat menghantar kereta mereka dengan enjin berkomputer ke mana sahaja untuk diperbaiki kecuali di pusat servis bertauliah yang dikhaskan. Ia menjadi monopoli dan bengkel bebas tidak dapat bersaing. Bahkan, pemilik kereta tidak boleh untuk mendapatkan ‘pendapat kedua’ atau memilih pembaiki pilihannya.

Pada Februari 2019, Australia mengemukakan skim mandatori bagi perkongsian servis kenderaan bermotor dan maklumat pembaikan. Dengan itu, adalah menjadi satu mandatori bagi peniaga kereta untuk berkongsi teknologi pembaikan kenderaan dengan bengkel kereta bebas.

Perjanjian berhubung Akses kepada Servis dan Maklumat Pembaikan bagi kenderaan bermotor ditandatangani pada 2014 antara badan industri mewakili pengeluar kereta dan pembaiki bebas untuk memastikan akses yang adil kepada maklumat pembaikan berdasarkan sukarela. Kemudiannya satu kajian oleh Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) pada 2017 menunjukkan sistem sukarela tidak berkesan dan dengan itu ia menyarankan skim wajib.

Jika skim mandatori digunakan ia akan mewujudkan padang permainan yang sama rata bagi lebih daripada 30,000 pembaiki kereta tempatan di Australia.

Kita seharusnya mencontohi Australia di sebabkan sudah terlalu lama pemilik kereta Malaysia dipaksa untuk menghantar kereta mereka ke pusat servis bertauliah yang mengenakan caj yang lebih berbanding bengkel kereta bebas dan servis mungkin kurang memuaskan. Kita juga mempunyai banyak pembaiki kereta bebas yang bekerja keras yang mungkin terpaksa menutupnya pada masa akan datang memandangkan lebih banyak kereta berkomputer, jika mereka tidak mempunyai akses yang adil kepada peralatan diagnostik kereta dan jika terdapat halangan persaingan yang menjejaskan pilihan pengguna kepada bengkel kereta.

Pada masa kini terdapat lebih 50,000 bengkel kereta bebas di Malaysia yang tidak mempunyai akses kepada maklumat teknikal yang sama daripada anggaran 500 bengkel peniaga kereta.

Kami menggesa kerajaan, terutamanya Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), untuk mempertimbangkan dengan serius pendekatan ini untuk menjadikan satu mandatori bagi perkongsian servis kenderaan bermotor dan maklumat pembaikan dengan pembaiki bebas.

 

Surat kpeada Pengarang, 17 Mei 2019