Penumpang Feri Alami Kesulitan Disebabkan Ketidakcekapan Rapid Feri

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan bagaimana Rapid Feri beroperasi, tanpa memaklumkan kepada orang ramai mengenai perubahan jadual sebelum ini daripada dua perjalanan sejam kepada satu perjalanan sejam. Ia jelas kurangnya perancangan dan tidak berpandangan jauh, menyebabkan kesulitan kepada pengguna kenderaan dan pejalan kaki yang menggunakan perkhidmatan feri.

Kita tidak dapat memahami bagaimana sebanyak enam feri yang digunakan untuk perjalanan antara Pulau Pinang dan Butterworth dikurangkan kepada hanya satu beroperasi tanpa sebarang sokongan, memandangkan pengangkutan amat penting bagi penumpang terutama sekali pejalan kaki yang tidak mempunyai pilihan pengangkutan alternatif. Apa yang dilakukan oleh pengendali pekhidmatan feri memberikan kesan besar kepada penumpang yang akan terlewat ke pejabat, temu janji, atau terlepas keretapi dan bas.

Papan tanda perlu diletakkan untuk memberitahu mengenai kelewatan dalam beberapa jarak daripada terminal feri di bahagian pulau dan tanah besar supaya pemandu yang bercadang untuk menunggu feri boleh memutuskan untuk menunggu atau untuk mengambil laluan alternatif.

Walaupun dikatakan jadual perjalanan feri boleh didapati dalam laman rasmi Facebook Rapid Feri, kami mendapati laman Facebook itu hanya mempunyai 6,726 pengikut dan sehingga 2 petang pada 29 Julai 2020, jadual feri mempunyai kurang daripada 30 perkongsian. Ini bermakna majoriti penumpang feri masih tidak mengetahui mengenai masalah yang bakal dihadapi. Facebook bukanlah cara berkomunikasi yang berkesan dengan orang ramai.

Apabila perkhidmatan feri beroperasi sekali sejam, kita boleh menjangkakan bilangan penumpang akan meningkat selaras dengan waktu puncak dan penumpang dengan jelas melanggar penjarakan sosial. Untuk mengatasi masalah, pengendali feri perlu mengatur bas ulang-alik untuk mengangkut penumpang feri yang berjalan kaki dari Pangkalan Raja Tun Uda di bahagian pulau ke Penang Sentral ke tanah besar dan begitu juga sebaliknya.

Kami juga ingin mengetahui bagaimana lima feri tidak dapat beroperasi, yang tinggal hanya satu sahaja. Adakah ia menjalani penyelenggaraan wajib secara tetap? Amat penting untuk mengekalkan perkhidmatan Feri Pulau Pinang kerana ia merupakan ikon kepada negeri ini dan sudah berusia 126 tahun di samping sebagai alat pengangkutan yang murah, cekap dan mudah.

 

Kenyataan Akhbar, 30 Julai 2020