Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi ingin mengulangi pendirian kami bahawa kami tidak menyokong cadangan projek kereta kabel untuk Bukit Bendera memandangkan projek itu akan menjejaskan ekosistem sensitif kawasan bukit dan Taman Botani Pulau Pinang.
Kerosakan keretapi funikular baru-baru ini tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk meneruskan projek kereta kabel tanpa menyiasat penyebab kerosakan dan bagaimana untuk mencegahnya pada masa depan.
Kami memahami bahawa kerja penyelenggaraan bagi keretapi funikular dijalankan hanya sekali dalam masa 12 bulan. Dengan penggunaan berlebihan keretapi itu dan penyelenggaraan yang tidak kerap, maka ia mudah mengalami kerosakan. Apa yang kini perlu dilakukan ialah melakukan kerja penyelenggaraan dengan lebih kerap contohnya sekali dalam tempoh 9 bulan yang mana ini akan dapat mengelakkan sistem keretapi itu daripada mengalami kerosakan.
Oleh itu, menambah baik kekerapan penyelenggaraan keretapi mestilah menjadi langkah yang paling utama untuk disegerakan, yakni ini akan mengelakkan daripada perlunya kereta kabel.
Projek kereta kabel tidak mesra alam sekitar bagi bukit dan Taman dan untuk mengandaikan bahawa ia mesra alam sekitar adalah memperdayakan. Tambahan projek kereta kabel jika dilaksanakan akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki kepada Taman Botani dan Bukit Bendera kerana pembinaan lebih banyak hotel, banglo untuk golongan kaya, kafe, jalan dan taman hiburan.
Menurut laporan media, Ketua Menteri berkata 8 hingga 10 tiang pilon diperlukan untuk menyokong rangkaian kereta kabel yang akan menghubungkan stesen berdekatan Kelab Menembak Pulau Pinang di Taman Botani ke puncak bukit di pintu masuk the Habitat.
Pertama, Kelab Menembak Pulau Pinang tidak terletak di luar Taman Botani sepertimana yang didakwa oleh Ketua Menteri memandangkan ia berada dalam lingkungan Rancangan Kawasan Khas (SAP) Taman Botani. Kini berdasarkan keadaan harian pada sebelah pagi dan pada waktu cuti umum, taman itu dipenuhi dengan sebilangan besar pengunjung dan terdapat kesesakan di jalan raya. Dengan stesen kereta kabel berdekatan Kelab Menembak itu, situasi lalu lintas akan menjadi lebih teruk, ia akan menukarkan keadaan alam semula jadi Taman itu kepada kawasan yang lebih bising dan tidak tertahan lagi.
Kedua, dalam usaha untuk membina projek kereta kabel ini, isu utama ialah bagaimana tiang pilon yang berat ini akan dibawa masuk dan dipasang, yang mana ini akan memerlukan pembinaan jalan, penggalian dan kerja pembinaan. Tambahan pula, sebaik kerja pembinaan berakhir, laluan penyelenggaraan di bawah laluan kereta kabel diperlukan dan semua ini akan menyebabkan gangguan kepada Bukit Bendera dan Taman Botani yang merupakan kawasan alam sekitar yang mudah terjejas dan sensitif.
Sehubungan dengan isu-isu yang timbul ini, SAM dan CAP merayu dan menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak meneruskan cadangan kereta kabel.
Jika kerajaan terus mendesak untuk melakukannya walaupun terdapat bantahan dan kebimbangan, maka kami menggesa supaya kajian yang lebih lengkap dan teliti dilakukan dan menilai kesan sosial dan alam sekitar bagi projek kereta kabel di Bukit Bendera dan stesen di Taman Botani sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung projek itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow berkata dalam laporan media bahawa kajian pra kebolehlaksanaan projek sedang berjalan, manakala kajian teknikal sepenuhnya akan dijalankan sebagai langkah yang seterusnya.
Kajian yang dijalankan itu mestilah memastikan bahawa kesan sosial dan alam sekitar terhadap Bukit Bendera dan Taman Botani tidak dipandang ringan, memandangkan ciri-cirinya yang istimewa dan keadaan alam semula jadi bagi kawasan ekosistem khas ini.
Sehubungan itu, kami menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya telus dan mendedahkan kepada umum perkara yang berikut:
1. Terma rujukan kajian, dan menjelaskan jika ia termasuk kesan sosial dan alam sekitar yang lengkap terhadap Bukit Bendera dan Taman Botani;
2. Siapakah yang menjalankan kajian;
3. Mengumumkan kajian ini kepada orang ramai dan
4. Menjelaskan syarikat manakah yang bersaing untuk mendapatkan projek kereta kabel ini.
Siaran Akhbar, 8 Januari 2020