Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam temubual “candid” dengan akhbar The Edge jelas bukan “candid” dan cuma berdasarkan pemahaman yang lemah mengenai peranan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM). Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memuji MAVCOM kerana memberi penjelasan mengenai fakta kurang tepat yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan sungguhpun ini merupakan masa “huru-hara” bagi Suruhanjaya.
Antara semua kenyataan mengelirukan yang dibuat oleh Menteri berkenaan ketika ditemubual oleh The Edge, yang paling lancang ialah “Tidak ada sesiapa yang memperakui MAVCOM sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap penerbangan awam.” Memang benar MAVCOM bukanlah pihak yang berkuasa ke atas keseluruhan industri penerbangan awam, namun ia adalah pengawal ekonomi bebas industri penerbangan awam Malaysia. Jelaslah ini menjadikannya salah satu pihak berkuasa bagi penerbangan awam di Malaysia dan ia diberi kuasa mengikut perundangannya sendiri.
CAP sentiasa bersetuju agar MAVCOM kekal sebagai agensi yang bebas dan berautonomi dan menjawab kepada Parlimen agar terdapat “check and balance” dalam industri yang sedang berkembang dan memberi kesan yang besar kepada pengguna di Malaysia.
Kami tidak boleh memberi penekanan secukupnya kepada orang awam berhubung hal ini. CAP sudah pun mengemukakan perkara yang penting ini kepada Perdana Menteri dalam surat bertarikh 10 Disember 2019. Namun sehingga kini kami masih belum menerima maklum balas sungguhpun ia merupakan isu penting bagi negara.
Cuba kita membuat andaian mengenai situasi di mana Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) benar-benar mengambil alih tugas MAVCOM sementara MAVCOM dibubarkan. Sekiranya CAAM gagal berfungsi secara bebas, seperti yang dilakukan selama ini oleh MAVCOM, dan sebaliknya menerima arahan dari Kementerian Pengangkutan, maka tidak akan ada “check and balance”. Ia akan hanya menjadi sebuah badan kawal selia yang melakukan segalanya – dan kita kini sudahpun melihat keburukan yang berlaku dalam sesetengah kes.
Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan akan memberi kesan kepada semua pengguna Malaysia yang ingin membuat penerbangan pada masa hadapan. Hakikatnya MAVCOM yang memperkenalkan hak pengguna bagi penerbangan dan menguatkuasakannya demi melindungi pengguna. Sehingga kini belum ada maklumat sama ada tugas ini akan diambil alih oleh CAAM, ataupun sekiranya keadaan akan kembali kepada asal di mana pelanggan terpaksa berdepan pelbagai masalah apabila timbul pertikaian dengan pihak penerbangan.
MAVCOM telah mengeluarkan satu kenyataan dalam laman sesawangnya berjudul “Clarification on matters contained in the Edge on 23 December 2019”. Kami percaya rakyat perlu membaca sendiri kenyataan tersebut agar mereka boleh mendengar dari semua pihak, dan bukan sekadar kenyataan dari Menteri Pengangkutan. Hanya ketika itu rakyat akan dapat memberikan pandangan mereka berhubung perkara ini.
Surat kepada Pengarang, 8 Januari 2020