Perdagangan Reptilia

Laporan media mengenai rampasan anak buaya yang masih hidup di lapangan terbang Sibu bukanlah satu insiden yang baharu. Insiden yang sama berlaku pada Mei 2018 di mana penghantaran secara haram 50 ekor buaya hidup dari Malaysia dirampas oleh pegawai sempadan di lapangan terbang Heathrow.

Apa yang amat mengejutkan ialah bagaimana anak buaya berusia setahun diangkut. Reptilia ini mempunyai berat sekitar 40 kilogram, tidak dimasukkan ke dalam bekas khas mengikut peraturan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), menjadikan permit mereka tidak sah dan pengimportannya adalah haram.

Ia ditemui dalam keadaan yang mengerikan oleh Grant Miller, Ketua Pasukan Sempadan Kebangsaan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES) di Heathrow yang mengulas, “Ia sesuatu yang tidak dapat diterima bagi reptilia diangkut dengan cara begini.”

Setiap kotak hanya mempunyai ruang untuk empat ekor buaya tetapi reptilia 10 kaki panjang itu dimasukkan ke dalam setiap satu daripadanya. Akibat ruang yang terhad buaya itu mula bergaduh antara satu sama lain dan ketika pergaduhan itu mengakibatkan kematian salah seekor daripada buaya itu.

Selain dari bertentangan dengan peraturan CITES, ini adalah satu contoh yang jelas bagaimana pengeksport hidupan liar Malaysia dan pedagang hanya mengutamakan keuntungan tanpa mempedulikan kebajikan haiwan. Menyumbat seberapa banyak reptilia ke dalam kotak dengan mengehadkan bilangan kotak yang digunakan dalam usaha untuk menjimatkan kos telah menjadi satu perkara biasa bagi pengeksport hidupan liar ini.

Buaya ini dipercayai untuk ladang di Cambridgeshire, di mana ia akan dibiakkan untuk daging. Nasib baiklah keadaan yang amat mengerikan ini membawa kepada rampasan baki buaya yang masih hidup yang dijaga untuk dikembalikan semula.

Dalam kes di Sibu, rampasan anak buaya hidup dalam dua kotak putih dilabelkan sebagai ikan beku, kebenarannya ditemui apabila bungkusan itu dipintas di lapangan terbang Sibu, dengan itu menyelamatkan anak buaya itu daripada siksaan. Dalam kes ini butiran penghantar semuanya dipercayai palsu. Dalam kes pertama tidak terdapat sebarang berita selanjutnya untuk mengenal pasti identiti pengeksport buaya dan dari negeri mana di Malaysia. Bagi yang seterusnya pemalsuan butiran penghantar juga membawa kepada tiadanya sebarang penangkapan.

Potensi keuntungan besar, ditambah dengan hukuman yang minimum jika ditangkap terutama sekali bagi kesalahan pertama, mengakibatkan sebilangan besar penyeludup melakukannya dan kepelbagaian teknik penyeludupan yang digunakan.

Amat menyedihkan sekali sementara tiada seorang pun yang mengetahui apakah peratus sebenar perdagangan hidupan liar haram yang melibatkan reptilia, ia dikatakan amat besar. Penyeludup akan berbuat apa sahaja untuk menyembunyikan aktiviti mereka. Salah satu rutin dan sering menjadi strategi yang berkesan yang digunakan oleh penyeludup dalam membawa haiwan ialah dengan memalsukan dokumentasi import dan eksport. Penguatkuasaan undang-undang perdagangan sedia ada sering kekurangan, dengan itu banyak haiwan dihantar secara haram sering tidak dikesan.

Malangnya, kegagalan dalam penguatkuasaan keperluan CITES telah mencegah kejayaan pelaksanaan CITES sebagai alat pemuliharaan. Ini juga kegagalan dalam pematuhan peraturan IATA yang mengakibatkan layanan tidak berperikemanusiaan dan kematian sebahagian besar reptilia.

Memandangkan kepada hakikat bahawa kesukaran atau tidak mungkin untuk mengenal pasti sumber yang tepat kebanyakan reptilia, pengeksport mungkin mengambil haiwan yang ditangkap secara haram, mengisytiharkannya sebagai pembiakan dalam kurungan dan menjualnya dengan keuntungan yang lebih besar.

Internet juga telah memudahkan lagi peningkatan dalam perdagangan haiwan liar yang sah dan haram. Ia telah merevolusikan perdagangan reptilia dengan menghubungkan penjual dan pembeli di seluruh dunia dalam cara yang tidak pernah terfikir sebelum ini.

Dua kes di atas memberikan kita satu peringatan bahawa penguatkuasaan itu amat sukar dan kadang kala bergantung kepada nasib. Tiada siapa pun yang benar-benar mengetahui tahap sebenar aspek perdagangan ini.

Perdagangan haram ini amat besar dan dipercayai sama atau pun lebih besar dalam nilai berbanding perdagangan yang sah. Sesetengah reptilia yang ditangkap secara haram digubah melalui apa yang dipanggil sebagai ladang reptilia atau kemudahan lain dan dilabelkan sebagai pembiakan dalam kurungan dan kemudiannya dihantar kepada pembeli di lokasi lain melalui rangkaian yang luas iaitu pengumpul, pengeksport, pengimport, pemborong dan peruncit. Mereka mewakili sebahagian kecil daripada masalah yang besar dalam dunia perdagangan reptilia haram.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa penyiasatan yang mendalam oleh pihak berkuasa yang berkenaan terhadap dua kes itu dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

 

Surat Kepada Pengarang, 1 Februari 2019