Perlukan Perlindungan yang Kukuh bagi Pemerangkapan Karbon Sebelum Sebarang Pelaksanaan

Gambar melalui Clean Air Council, Philadelphia.

Keputusan Dewan Rakyat baru-baru ini yang terburu-buru meluluskan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) pada Khamis, 6 Mac yang lepas, meskipun terdapat banyak isu kritikal dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen  khususnya daripada pihak pembangkang yang tidak mendapat maklum balas yang sewajarnya amatlah dikesali. Ada Ahli Parlimen yang telah menyuarakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh NGO mengenai kelemahan Rang Undang-undang tersebut, khususnya berkaitan isu liabiliti dan usaha untuk menangani kesan alam sekitar dan sosial jangka panjang yang timbul daripada projek CCUS.

Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli dalam ucapan penggulungan pada Khamis, 6 Mac yang lepas, menolak dakwaan bahawa Rang Undang-undang itu diluluskan dengan tergesa-gesa, mengatakan bahawa perundingan terlebih dahulu telah diadakan dan semua kebimbangan telah ditangani. Malangnya, rundingan tersebut tidak menampilkan perincian Rang Undang-undang tersebut, tetapi hanya meliputi tema-tema umum yang agak samar dan wajar diberi pendedahan lebih terperinci. Oleh itu, kami berasa amat khuatir apabila kami melihat Rang Undang-undang penuh tersebut untuk kali pertama yang juga hanya dikongsikan beberapa hari lepas.

Ketergesaan pihak Menteri dalam meluluskan Rang Undang-undang inijelas terlihat melalui pengumuman bahawa “Kerajaan menyasarkan untuk mewartakan rang undang-undang itu menjelang 31 Mac, untuk mendapatkan peluang pelaburan jangka panjang,” sambil menambah bahawa “tender bagi  penyimpanan karbon sedang berjalanpada masa ini. Jika Malaysia tidak dapat menguatkuasakan (RUU) ini selewat-lewatnya 31 Mac, kami akan terlepas – kami tidak boleh memasuki bidaan.”

Kenyataan Menteri itu berkaitan dengan hasrat kerajaan yang mahumemposisikanMalaysia sebagai hab pelupusan karbon serantau, di mana syarikat asing boleh melupuskan karbon mereka di perairan dan daratan negara, atas alasan keuntungan ekonomi. Bagi tujuan ini, PETRONAS bersama dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), telah menandatangani perjanjian dengan beberapa syarikat Jepun dan Korea Selatan serta kerajaan. Peraturan ini telah berjalan tanpa ketelusan, walaupun terdapat implikasi jangka panjang penyimpanan karbon selama beratus-ratus tahun, disebabkan jangka hayat karbon dioksida (CO2) yang panjang.

Usaha penyimpanan karbon dari negara lain sememangnya bukanlah usaha telus untuk mengurangkan pelepasan karbon domestik kita sendiri, sebaliknya berisiko meningkatkan pelepasan karbon nasional, sekiranya berlaku sebarang kebocoran dari tapak penyimpanan. Ini juga berpotensi menjadi beban berat bagi negara dalam usaha mengekalkan integriti tapak penyimpanan karbon agar tidak mendatangkan impak negatif kepada generasi akan datang.

Undang-undang CCUS yang dicadangkan itu bukan sahaja untuk menangani sisa CO₂ asing, tetapi juga untuk menangani pelepasan CO₂ domestik, khususnya dari sektor bahan api fosil.

CO₂ dalam kepekatan tinggi, adalah gas toksik dan asfiksia, yang boleh menyebabkan koma dan kematian. Kebocoran karbon berpotensi memasuki pembentukan geologi berdekat boleh menyebabkan tindak balas geokimia, termasuk rangsangan aktiviti seismik dan mobilisasi unsur-unsur pencemaran, seperti logam berat, yang boleh menjejaskan sumber air minuman dan air bawah tanah, kehidupan marin, sumber perikanan, sekaligus mendatangkan bahaya kepada masyarakat setempat.

Penelitian kami terhadap Rang Undang-undang ini menunjukkan bahawa ia tidak komprehensif untuk menangani risiko dan bahaya yang berpotensi berlaku, dan tidak mengandungi perlindungan yang secukupnyauntuk alam sekitar dan kesihatan awam. Ini mestilah diperbetulkan dengan segera sebelum memulakan sebarang bidaan bagi projek CCUS.

Di bawah Rang Undang-Undang CCUS, kemudahan pemerangkapan karbon mestilah didaftarkan, dan pengendali dikehendaki mendapatkan permit bagi tapak penyimpanan karbon luar pesisir dan daratan. Adalah diperkatakan bahawa pemantauan ketat dan protokol keselamatan akan dikuatkuasakan bagi mengelakkan kebocoran dan kerosakan alam sekitar. Walau bagaimanapun, protokol keselamatan ini masih perlu dihuraikan dengan lebih lanjut.

Rang Undang-undang ini juga merujuk kepada “amalan CCUS yang berhati-hati”, yang akan ditafsirkan sebagai “apa-apa amalan, kaedah, ukuran dan piawaian yang secara amnya diikuti oleh industri CCUS global”, termasuklah “(a) apa-apa keperluan seperti yang ditetapkan oleh Menteri selepas berunding dengan entiti teknikal kompeten (CTE) yang berkaitan; (b) sebarang garis panduan yang dikeluarkan oleh CTE yang berkaitan; atau (c) apa-apa standard yang dikeluarkan oleh mana-mana badan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.”

Takrifan mengenai apa itu “amalan CCUS yang berhati-hati… biasanya diikuti oleh industri CCUS global” sememangnya merupakan bahagian yang amatlah membimbangkan dalam Rang Undang-undang itu, yang menimbulkan banyak persoalan. Pertama, apakah maksud “industri CCUS global”? Kedua, siapa yang hendak memutuskan apa yang berhati-hati atau tidak?

Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib, memaklumkan kepada Parlimen pada 5 Mac bahawa kementerian telah melantik Institut CCS Global sebagai perunding untuk menjalankan kajian mengenai rangka kerja Perundangan dan Kawal Selia CCUS Malaysia “selaras dengan perundangan dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa”.  Menteri juga berkata bahawa “RUU CCUS ini telah digubal berdasarkan amalan terbaik CCUS di peringkat antarabangsa, dan telah mengambil kira keperluan bagi pengurusan risiko yang cekap”.

Seperti yang didedahkan dalam laman sesawangnya, “misi Institut Global CCS adalah untuk mempercepatkan penggunaan CCS”, dan keahliannya termasuk banyak syarikat bahan api fosil yang besar, yang perniagaannya adalah dalam meneruskan pengeluaran dan pengembangan bahan api fosil. Mereka mempunyai kepentingan dalam mempromosikan teknologi CCS dan bukanlahpendokong kesihatan awam dan perlindungan alam sekitar.

Untuk bergantung kepada industri CCUS global untukmemberi panduan mengenai apa itu amalan “berhati-hati”, bukanlah satu tindakan butuh bagi penyediaan perlindungan yang berkesan, kerana ianya sama seperti meminta musang menjaga reban ayam!

Selanjutnya, adalah diperjelaskan bahawa Akta yang dicadangkan itu “hanya bertujuan untuk menangani jurang peraturan dan tidak akan mencadangkan undang-undang teknikal baharu yang termasuk dalam bidang kuasa undang-undang sedia ada yang lain.” Ini menimbulkan banyak persoalan.

Belum ada undang-undang untuk mengawal gas rumah hijau, termasuk CO₂. Ini sepatutnya ditangani oleh RangUndang-Undang Perubahan Iklim yang hingga kini belum selesaidan berada dalam bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES). Meneruskan undang-undang CCUS tanpa menunggu Akta Perubahan Iklim adalah menunjukkan tiadanya dasar yang komprehensif dan kesepaduan perundangan.

Selanjutnya, berkenaan dengan pengurusan risiko alam sekitar dan sosial yang berpunca daripada projek CCUS, undang-undang yang sedia ada tidak jelas dan terdapat jurang peraturan kawal selia yang tidak ditangani dalam undang-undang CCUS yang dicadangkan.

Contohnya, berkenaan dengan keperluan bagi Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling(EIA), garis panduan pada masa ini tidak menjelaskan dengan rapisama ada projek CCS memerlukan EIA. Projek CCS sewajarnya berada di bawah Jadual Kedua EIA, yang mewajibkan pameran dan ulasan awam. Garis panduan EIA mestilah dipinda ke arah cadangan ini.

Kami khuatirapa yang berlaku untuk projek Kasawari di Bintulu, Sarawak yang diusahakan PETRONAS akan berulang lagi. Projek Kasawari akan menjadi usaha CCS luar pesisir terbesar di dunia mengikut jumlah pemerangkapan CO₂, dan EIA telah diluluskan tanpa sebarang pameran atau ulasan awam.  Perlu juga diingatkan bahawa undang-undang CCUS yang dicadangkan itu tidak meliputi Sarawak dan Sabah.

Kami juga percaya bahawa memandangkan kesan alam sekitar dan sosial projek CCUS yang boleh merentasi sempadan negeri dan negara, projek sebegini memerlukan kelulusan perancangan, termasuk daripada Majlis Perancangan Fizikal Negara (diketuai oleh Perdana Menteri) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (APBD)1976, yang pada masa ini masih tidak diperuntukkan di bawah APBD. Oleh itu, ini adalah satu lompongan besar yang perlu diselesaikan.

Jelas sekali, terdapat jurang yang serius dalam Rang Undang-Undang semasa yang masih belum ditangani. Dengan kelulusan rang undang-undang ini di dewan rakyat, ianya akan dibentangkan di Dewan Negara untuk perbahasan dan pengundian. Adalah dijangkakan bahawa rang undang-undang ini akan diluluskan dalam bentuk semasa, walaupun terdapat kekurangan. Ini jelas, memandangkan desakan Menteri Ekonomi untuk mewartakan undang-undang itu menjelang akhir bulan ini, supaya projek-projek CCUS dapat berjalan dengan  secepat mungkin.

Ketergesa-gesaan untuk membida dan meluluskan projek CCS tanpa perlindungan alam sekitar dan sosial yang sewajarnya adalah satu kebobrokan yang serius, di mana kepentingan komersial syarikat besar diutamakan lebih daripada kepentingan masyarakat am dan alam sekitar.  Kerajaan mestilah mengimbangi semua kepentingan dan tidak menyerah kepada syarikat berkuasa dan lobi mereka.

Masih ada ruang dan masa untuk penambahbaikan, sekiranyaterdapat keinginan politik untuk melakukan demikian. Seperti kata pepatah, bersusah-susah dulu lebih baik dari menyesal kemudian

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Surat Kepada Pengarang, 10 Mac 2025