Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan di negara China bahawa projek ECRL dibatalkan pada masa kini..
Walau bagaimanapun SAM berharap keputusan membatalkan bukan hanya disebabkan kos yang terlalu tinggi tetapi perlu juga mengambilkira kesannya kepada kesejahteraan alam sekitar khususnya kemusnahan hutan dan kawasan semula jadi.
Malah SAM berharap keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan pelaksanaan projek ECRL bukan hanya buat masa ini sahaja tetapi tidak akan mempertimbangkannya di masa akan datang.
Seharusnya setiap perancangan pembangunan khususnya yang melibatkan pengubahan guna-tanah yang hendak dilaksana oleh Kerajaan Persekutuan dan semua Kerajaan Negeri perlu merujuk dan mengambilkira serta selari dan tidak bercanggah dengan semua dasar, pelan perancangan fizikal, ketetapan dan garis panduan berkaitan alam sekitar sedia-ada.
SAM juga berharap Kerajaan Persekutuan akan meneliti dan memperhalusi semula lain-lain cadangan projek yang boleh memberi impak atau kesan ketara kepada kesejahteraan alam sekitar sebagaimana yang terkandung dalam salah satu insiatif manifesto Pakatan Rakyat pada Piliharaya Umum ke-14 lalu.
Kenyataan Media, 23 Ogos 2018