CAP Gesa Berhati-Hati Dalam Menaikkan Yuran Perubatan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan melaksanakan dengan berhati-hati dalam menaikkan yuran perubatan. Pengguna kini dibebani dengan pelbagai kos sara hidup dan sebarang peningkatan mendadak dalam yuran perubatan akan menghalang pengguna daripada mendapatkan rawatan perubatan yang kemudiannya mungkin membawa kepada kesan kesihatan yang lebih teruk.

Sebarang peningkatan dalam yuran perundingan seharusnya tidak lebih tinggi berbanding kadar inflasi. Perlu diingatkan bahawa inflasi perubatan di Malaysia adalah salah satu yang tertinggi dirantau ini. Laporan dalam Edge Financial Daily pada Ogos 2017 melaporkan bahawa inflasi penjagaan kesihatan Malaysia adalah 11.5% pada 2016 dan meningkat kepada 12.7% pada 2017. Ini lebih tinggi berbanding purata Asia iaitu pada 10.7%.

Ia juga seharusnya menjadi satu mandatori bagi doktor untuk menyediakan bil yang menyenaraikan yuran perundingan berasingan dan kos ubatan. Pengguna mempunyai hak untuk mengetahui berapa banyak mereka membayar yuran rundingan dan ubatan, supaya mereka boleh melaksanakan pilihan mereka dalam mendapatkan ubatan daripada pihak farmasi.

 

Kenyataan Akhbar,28 Ogos 2018