Lanjutan arahan perintah kawalan pergerakan bermula dari Fasa 1 hingga ke Fasa 3 bukan sahaja menurunkan kadar jangkitan COVID-19 malah sedikit sebanyak berjaya mendidik masyarakat agar lebih menghargai alam sekitar dan bagaimana ianya memainkan peranan penting dalam kehidupan harian kita.
Walaupun pihak kerajaan telah mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) Fasa 4 bermula 4hb Mei 2020 dan bakal berakhir pada 12hb Mei 2020, ia bukanlah tiket untuk kita melakukan kembali perkara-perkara yang menyumbang dalam pencemaran alam sekitar atau melanggar undang-undang yang bertujuan melindungi alam sekitar.
Berdasarkan kajian pakar-pakar kualiti udara di Malaysia, sejak minggu pertama (Fasa 1) kawalan pergerakan dikuatkuasakan, purata kadar pencemaran udara sedikit menurun berbanding pada hari-hari biasa sebelum PKP diperintahkan. Penurunan kadar pencemaran tersebut adalah sangat tidak dijangka dan ia menandakan bahawa kualiti udara yang baik boleh dicapai khususnya di kawasan-kawasan yang sebelum ini mempunyai kadar pencemaran yang tinggi dengan membendung pencemaran dari puncanya.
Memetik kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Bernama sebagai berkata, pelaksanaan PKP di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19 juga memberi kesan baik kepada alam sekitar.
Menurut beliau, berdasarkan analisis beberapa lokasi termasuk Cheras (Kuala Lumpur), Putrajaya, Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Seremban, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, kualiti udara di tempat terbabit semakin baik sepanjang pelaksanaan PKP.
Malah saranan dari pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian, 29hb Mac 2020 menyatakan, pihak Kementerian akan terus memantau kelestarian alam sekitar dengan memastikan tidak berlaku sebarang pencemaran khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
SAM menyambut baik saranan ini dan kami berpandangan bahawa perkara sebegini perlu diberi perhatian oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasa jika ingin mengekalkan kualiti udara bersih, langkah pengurangan pelepasan gas pencemar dan sisa terutamanya daripada industri harus dilakukan secara serius walaupun selepas tempoh PKP tamat.
Kepada pihak industri pula, mereka perlu patuh kepada peraturan dan udang-undang yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar serta PBT dalam membendung pencemaran alam sekitar dan bukan mengaut keuntungan semata-mata.
Kami bimbang jika pihak-pihak berkenaan tidak mengambil pendekatan yang tegas dalam menangani masalah ini, dikhuatiri amalan persekitaran yang buruk dan pelanggaran undang-undang kembali berlaku. Apa yang pasti perkara sebegini mesti dicegah dengan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar yang ketat.
KENYATAAN MEDIA, 7 Mei 2020