SIASAT PUNCA RIBUAN IKAN MATI DI SUNGAI TIRAM – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Tiram dekat Bayan Lepas di sini berikutan kejadian ribuan ikan mati terapung di permukaan sungai itu kelmarin.

Tinjauan CAP sepanjang sungai berkenaan sejauh hampir 2km hingga ke jeti nelayan Permatang Damar Laut mendapati bangkai ikan jenis belanak, gelama dan duri yang menjadi mangsa pencemaran itu memenuhi permukaan sungai tersebut menyebabkan orang ramai yang lalu lalang di kawasan ini terkejut melibat kejadian yang berlaku.

Masalah ini bukan kali pertama berlaku tetapi sudah beberapa kali kejadian serupa melanda sungai tersebut menyebabkan banyak ikan di sungai itu mati. Selain mengancam sumber pendapatan 200 nelayan pantai di Permatang Damar Laut, pencemaran tersebut juga turut menjejaskan aktiviti tangkapan ikan oleh penduduk tempatan.

CAP difahamkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat bahawa air sungai ini kerap bertukar warna menjadi hitam dan berminyak. Pencemaran tersebut merebak hingga ke laut berhampiran menyebabkan ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka semakin pupus.

Isu pencemaran Sungai Tiram ini telah lama dikemukakan kepada kerajaan Pulau Pinang dan JAS tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil. CAP percaya jika masalah ini berlarutan bukan saja alam sekitar kawasan berkenaan akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang, malah para nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di sungai tersebut dan laut berhampiran juga akan terputus mata pencarian.

CAP kesal dengan masalah yang berlaku ini dan berharap siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian tersebut dapat dilakukan segera oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perikanan di samping mengambil tindakan undang-undang yang tegas ke atas pihak terbabit.

CAP juga menyarankan supaya kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Perikanan membuat kajian dan penilaian mengenai kepupusan sumber perikanan dan kemerosotan hasil tangkapan yang dialami oleh nelayan tempatan akibat pencemaran yang berlaku. Pampasan yang setimpal perlu diberikan kepada nelayan-nelayan di sini bagi meringankan beban kehidupan keluarga masing-masing.

 

Kenyataan Media, 13hb Julai 2015