Tangani isu pencemaran Metformin yang membimbangkan – CAP

Pihak berkuasa kesihatan di Singapura, dan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika menyuarakan kebimbangan bahawa Metformin, ubatan umum untuk pesakit diabetes, mungkin dicemari N-Nitrosodemethylamine (NDMA), sejenis bahan kimia yang dikaitkan dengan kanser. Metformin telah digunakan sebagai pengubatan peringkat pertama bagi merawat diabetes Jenis ke 2. Selain itu ia juga digunakan oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom untuk merawat sindrom ovari polisistik.

Berikutan penemuan pencemaran tersebut, pegawai kesihatan Singapura telah menarik semula tiga dari 46 versi ubatan tersebut dari pasaran selepas mendapati ia “melebihi paras yang dibenarkan” bagi NDMA. Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia supaya menjalankan siasatan dan membuat keputusan segera berhubung perkara tersebut memandangkan ia melibatkan lebih 90% dari 3.6 juta pesakit yang menghidap diabetes Jenis ke 2 di negara ini.

Terdapat kira-kira 20 jenama Metformin yang diketahui beredar di pasaran, yang dilancarkan pada 2015 di Malaysia.

Kami menggesa Kementerian Kesihatan menangani segera masalah pencemaran NDMA yang membimbangkan ini memandangkan ramai penghidap diabetes jenis ke 2, iaitu sekitar 3.2 juta, mengambil ubatan ini.

Kenyataan Akhbar, 11 Disember 2019