Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) memandang serius perkembangan cadangan aktiviti tambak laut untuk membina pulau buatan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan yang terbaru oleh kerajaan negeri Kedah di Langkawi.
Kerajaan negeri Pulau Pinang terus menggerakkan usaha melaksanakan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang dengan tampil menawarkan nilai pampasan yang dilihat sangat tidak wajar dan tidak setimpal dengan nilai ekosistem dan sumber perikanan yang bakal dimusnahkan oleh pembinaan tiga pulau buatan tersebut. JARING tetap bertegas dengan pendirian membantah sepenuhnya pembinaan pulau buatan tersebut dan menggesa komuniti nelayan di selatan Pulau Pinang agar tidak mempertimbangkan sebarang bentuk pampasan kerana kehilangan kawasan tangkapan tersebut tidak ternilai oleh wang ringgit.
Kerajaan negeri Kedah pula tampil mengumumkan aktiviti pembinaan pulau buatan di Langkawi seluars 1,979 ekar. Jelas disebut oleh YAB Menteri Besar Kedah dalam sidang media bahawa projek yang akan dibangunkan di pulau buatan tersebut adalah projek ‘high end’ iaitu projek yang bernilai tinggi. Projek yang bernilai tinggi ini secara praktikalnya tidak akan mampu untuk dimiliki oleh majoriti penduduk tempatan ataupun komuniti pesisir pantai di Langkawi khususnya nelayan.
Sewaktu wabak COVID-19 kini kembali mengganas dan kerajaan persekutuan terpaksa melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk di Pulau Pinang dan Kedah adalah sangat tidak wajar dan tidak rasional untuk kerajaan negeri melaksanakan sebarang projek yang boleh memusnahkan ekosistem pesisir pantai dan seterusnya menjejaskan mata pencarian dan kehidupan komuniti nelayan pantai.
Pelaksanaan aktiviti tambak laut ini juga akan menyebabkan sebahagian besar masyarakat dalam kelompok B40 yang bergantung kepada hasil tangkapan nelayan pantai untuk sumber protein akan kehilangan jaminan bekalan sumber perikanan (food security).
Justeru, JARING menggesa agar kerajaan negeri terbabit segera membatalkan sebarang cadangan projek berkaitan aktiviti tambak laut kerana ianya akan secara langsung menjejaskan mata pencarian dan kehidupan komuniti nelayan yang sudah cukup terkesan akibat penularan wabak COVID-19. Kerajaan negeri seharusnya fokus membantu rakyat menangani kesan COVID-19 dan membangunkan ekonomi negeri dengan kaedah yang lestari (sustainable).
AZRILNIZAM OMAR
Setiausaha JARING