Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat soal kenaikan harga runcit daging ayam antara RM8 hingga RM8.50 sekg kira-kira seminggu yang lalu.
Harga runcit itu telah meningkat daripada sekitar RM7 dalam tempoh seminggu. Ia merupakan kenaikan yang mendadak; justeru kami ingin tahu apa yang telah terjadi pada harga siling barangan keperluan yang dikenakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Dengan Hari Raya yang bakal menjelma dan situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (CMCO) semasa, pengguna dihimpit masalah kewangan.
Mungkin kita perlu mengingatkan kerajaan bahawa bukanlah menjadi tanggungjawab pengguna untuk mengetahui rintangan atau masalah dalam rantaian makanan yang mencetuskan reaksi rantaian dalam kenaikan harga makanan. Kerajaanlah yang bertanggungjawab untuk menangani masalah kenaikan harga ayam.
Kenyataan Akhbar, 15 Mei 2020