TINDAK SEGERA KENALPASTI PUNCA TUMPAHAN MINYAK DI PERAIRAN PULAU PINANG

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa di Negeri Pulau Pinang supaya mengambil tindakan segera bagi mengenalpasti punca masalah tumpahan minyak yang berlaku di perairan laut Pulau Pinang awal pagi tadi.

Diangarkan kira-kira sepanjang dua kilometer pesisir pantai berhampiran bangsal nelayan Paramount dicemari dengan kesan tumpahan minyak.  Kejadian dan punca yang berlaku masih tidak dapat dipastikan lagi malah menjadi tanda tanya kepada sebilangan besar nelayan Paramount di Jalan Sultan Ahmad Shah. Tinjauan SAM ke lokasi mendapati kesan tumpahan minyak berkenaan sudah tiada berkemungkinan telah mendap ke dasar lumpur.

Tindakan pantas Pihak Berkuasa Negeri bagi menangani masalah tumpahan ini perlu kerana ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kelestarian ekosistem laut malah turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan di kala negara sedang menghadapi ancaman pandemik COVID19 dan memberi impak kepada hasil tangkapan nelayan-nelayan di sini yang bergantung sepenuhnya pada hasil laut.

Bahaya yang akan dihadapi oleh hidupan marin termasuklah kesan toksik disebabkan oleh pendedahan atau sentuhan malah ia boleh memberi kesan seperti kerosakan sistem pembiakan mereka. Ini akan menyebabkan populasi hidupan laut akan berkurangan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai satu agensi penguatkuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi kes-kes tumpahan minyak telah membangunkan satu Sistem Hydrocarbon Fingerprinting System (HyFiS) yang mempunyai pangkalan data minyak bagi membantu untuk mengenal pasti punca tumpahan minyak dengan efisien. HyFiS membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pegawai JAS dalam pencegahan, penguatkuasaan dan siasatan ke atas tumpahan minyak yang berlaku dengan mengecilkan skop carian punca tumpahan dengan cepat dan efisien.

Kami harap kepakaran yang dimiliki oleh pihak JAS dapat membantu bagi merungkai dan menyelesaikan masalah ini serta mengenalpasti punca yang berlaku. JAS perlu memastikan tindakan wajar diambil ke atas pihak yang telah menyebabkan pencemaran ini, membayar kos pembersihan serta pampasan terhadap kerugian yang ditanggung oleh pelbagai pihak, termasuk nelayan yang terjejas akibat tumpahan minyak ini.

Justeru SAM juga menggesa Pihak Kerajaan Negeri dan agensi-agensi lain yang berkenaan supaya memandang serius dan segera menangani tumpahan minyak ini sebelum keadaan bertambah buruk agar ekosistem dan hidupan marin di situ tidak musnah manakala mata pencarian nelayan tempatan terjamin.

Kenyataan Media, 24 November 2020