Tingkatkan Keimanan Pada Bulan Ramadan: Elakkan Pembaziran Makanan dan Penggunaan Plastik

Bawa bekas sendiri untuk menggalakkan pengurangan dalam sisa plastik sekali guna.

Menjelang Ramadan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua rakyat Malaysia untuk merenung akan kesan alam sekitar dan sosial akibat daripada tabiat penggunaan kita dalam bulan yang mulia ini. Ramadan adalah masa untuk muhasabah dan mendisiplinkan diri. Malangnya, bagi sesetengah orang, ia telah menjadi pesta makan dan perbelanjaan yang membazir.

Pembaziran Makanan: Kebimbangan yang semakin meningkat

Penyediaan makanan yang berlebihan untuk berbuka puasa dan bersahur, terutamanya di bazar dan untuk berbuka puasa, sering mengakibatkan pembaziran makanan yang ketara. Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2023, Malaysia dianggarkan membazir 75,000 tan makanan sepanjang Ramadan iaitu 15 hingga 20% lebih banyak berbanding pada bulan lain, jika tiada apa yang dilakukan untuk mengurangkan pembaziran.[1]  Pembaziran ini bukan sahaja berdosa tetapi juga menghabiskan sumber, menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar, dan memburukkan lagi perubahan iklim melalui pelepasan gas rumah hijau daripada makanan yang mereput.

Kami menggesa orang ramai untuk:

1.  Membeli dengan bijak: Menahan godaan untuk membeli secara berlebihan. Berhati-hatilah dengan saiz hidangan dan membeli hanya jumlah makanan yang diperlukan untuk mengelakkan pembaziran.
2. Simpan lebihan makanan dengan betul: Bekukan lebihan makanan untuk mengelakkan pembaziran dan hangatkan semula bila perlu.
3. Menyimpan makanan dengan betul: Penjual perlu menyimpan makanan dengan betul untuk mengekalkan kualitinya dan mengelakkan daripada kerosakan.
4. Menyokong inisiatif sumbangan makanan: Sertai atau sokong program yang mengumpul lebihan makanan dari bazar Ramadan dan agihkan kepada mereka yang memerlukan.
5. Meningkatkan kesedaran: Didik keluarga dan rakan-rakan mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran makanan dan penggunaan plastik sepanjang Ramadan.

Selain itu, kami memuji arahan Perbadanan Putrajaya (PPj) baru-baru ini yang mewajibkan penjual bazar Ramadan di Putrajaya menyediakan dan menjual makanan hanya selepas jam 3 petang. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan keselamatan makanan, mengurangkan kerosakan dan mencegah potensi keracunan makanan. CAP menggesa pihak berkuasa tempatan di seluruh Malaysia untuk mengambil langkah yang sama untuk mengekalkan kebersihan makanan dan membendung pembaziran makanan yang tidak perlu. [2]

Elakkan Pembungkusan dan Bekas Plastik

Sisa plastik merupakan satu lagi isu mendesak yang diburukkan lagi semasa Ramadan, berikutan penggunaan yang berleluasa bekas serta beg plastik sekali guna dan pembungkusan untuk makanan dibawa pulang dari bazar Ramadan. Peningkatan dalam sisa pada bulan ini menyerlahkan lagi keperluan mendesak bagi amalan yang lebih mampan.

Menurut Alam Flora Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengurusan sisa, kutipan sisa pepejal meningkat dengan ketara pada bulan Ramadan. Pada 2024 sahaja, syarikat itu mengumpul 54,000 tan metrik sisa dalam tempoh hanya 20 hari di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang iaitu 4,000 tan metrik lebih banyak daripada tahun sebelumnya. Sebahagian besar sisa ini terdiri daripada makanan yang tidak dimakan dan pembungkusan plastik dari bazar Ramadan.

Masalah ini berlanjutan ke tapak pelupusan sampah, di mana sisa harian yang diangkut semasa Ramadan meningkat daripada 2,500 kepada 2,800 tan metrik di Kuala Lumpur.[3]  Pembungkusan plastik guna buang dan bekas polistirena adalah antara penyumbang utama kepada peningkatan yang membimbangkan ini.

Untuk meminimumkan bahaya alam sekitar, kami menggalakkan semua orang untuk:

1. Masak dan makan di rumah: Sediakan hidangan di rumah menggunakan bahan-bahan segar. Ini membantu mengurangkan sisa plastik daripada pembungkusan sambil menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat.
2. Gunakan bekas boleh guna semula: Bawa bekas makanan dan minuman anda sendiri semasa membeli dari bazar Ramadan.
3. Menyediakan Insentif: Penjual digalakkan untuk menawarkan diskaun bagi pelanggan yang membawa bekas mereka sendiri untuk menggalakkan pengurangan sisa plastik sekali guna.

Kami juga menyokong kempen tanpa beg plastik yang digalakkan oleh PPj di bazar Ramadan dan menyeru majlis tempatan lain untuk menguatkuasakan peraturan yang sama. Penjual mesti bertanggungjawab dengan menawarkan pembungkusan yang lebih mesra alam, manakala pengguna harus secara aktif menolak plastik sekali guna apabila boleh.

Seruan untuk Perubahan

Dalam kita menghayati ibadah Ramadan, marilah kita meneruskan nilai kesyukuran, disiplin diri dan keprihatinan bukan sahaja terhadap orang lain tetapi juga terhadap alam sekitar kita. Mengurangkan pembaziran makanan dan sisa plastik bukan sahaja tindakan mampan tetapi juga menunjukkan komitmen kita sebagai khalifah di  bumi ini.

CAP menggesa individu, peniaga dan penggubal dasar untuk mengambil tindakan yang lebih bermakna pada Ramadan ini. Bersama-sama kita boleh membuat pilihan yang benar-benar menghormati semangat sebenar bulan Ramadan yang mulia ini sambil menjaga bumi kita untuk generasi akan datang.

 

 

Mohideen Abdul Kader                                                         
Presiden                                                                                 
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 25 Februari 2025

 

[1] Unsold, leftover food at Ramadan bazaars in Malaysia raises concerns over wastage. (2023). CNA. https://www.channelnewsasia.com/asia/unsold-leftover-excess-food-malaysia-ramadan-bazaars-wastage-impact-environment-volunteer-needy

[2] Mail, M. (2025). After 3pm or else: Putrajaya Ramadan bazaar traders face strict deadline, warns PPj. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2025/02/16/only-after-the-clock-strikes-three-putrajaya-ramadan-bazaar-traders-given-strict-deadline-comply-or-face-action-says-ppj/

[3] KL, Putrajaya and Pahang see an increase of 4,000 metric tonnes in solid waste collection during Ramadan. (2024). https://twentytwo13.my/kl-putrajaya-and-pahang-see-an-increase-of-4000-metric-tonnes-in-solid-waste-collection-during-ramadan/