Tubuhkan Satu Badan Penyiasat Untuk Semua Institusi Swasta

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merujuk kepada laporan media berhubung isu Allianze University College of Medical Science (AUCMS). CAP telah mengendalikan perkara ini sejak kami menerima aduan daripada kakitangan dan pelajar AUCMS bermula awal tahun ini.

CAP juga telah memaklumkan dan berterusan berhubung dengan pelbagai badan kerajaan berhubung isu ini mengenai aduan yang diterima termasuklah:

  1. Pelajar tidak berpuas hati dengan kemudahan dan mutu sesetengah pensyarah.
  2. Kakitangan AUCMS tidak dibayar – yang bukan hanya menjejaskan kakitangan tetapi juga pelajar.
  3. Iklan palsu.
  4. Pelajar tidak menerima sijil mereka lama selepas menyelesaikan program.
  5. Membuka banyak kampus lain, salah sebuah daripadanya di Trent Park, London – kawasan yang mahal, apabila mereka tidak mampu untuk menguruskan kewangan kampus utama mereka.

Selain itu, pelajar yang tidak menyelesaikan program mereka tidak diterima oleh institusi pendidikan kerana nisbah khusus pelajar-pensyarah yang ditetapkan oleh Majlis Perubatan Malaysia.

Kami merasa bingung bagaimana dengan keseluruhan masalah ini ditangani. Jika kita mengambilkira kakitangan, pelajar dan sesiapa yang berkaitan dengan mereka seperti keluarga rapat mereka, kita boleh menyatakan bahawa beribu kehidupan telah terganggu.

Persoalan yang perlu ditanyakan kini ialah di mana akauntabiliti? Bagaimana seseorang itu bertanggungjawab, contohnya CEO AUCMS, membuat pembetulan terhadap “kesilapan” ini? Bagaimana masalah ini dibenarkan sehingga tidak terkawal? Tidak terdapatkah badan kerajaan yang memantau institusi pendidikan tinggi dan kewangan mereka?

CAP berpandangan kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap masalah ini. Mereka mestilah dipertanggungjawabkan terhadap masalah yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang tidak bersalah.

Kami juga menggesa siasatan penuh terhadap operasi institusi pendidikan swasta. Institusi swasta pada hari ini lebih banyak berfungsi seperti perniagaan yang mementingkan keuntungan dan bukannya untuk mendidik pelajar. AUCMS bukan hanya institusi yang ditutup dan membiarkan pelajar mereka tergantung dan ibu bapa pula bimbang ke mana wang hasil titik peluh mereka membiayai pendidikan anak mereka hilang begitu sahaja.

 

Surat Kepada Pengarang, 29 Oktober 2014