Kitar Semula Kimia: Sebuah Penipuan yang Berbahaya

Laporan Beyond Plastics dan IPEN mengenai “Chemical Recycling: A Dangerous Deception”

Plastik telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita dan kelihatan dalam banyak barangan harian. Seiring dengan penggunaan plastik yang meningkat dengan pesat dalam beberapa dekad yang lalu, cabaran terhadap alam sekitar dan kesihatan awam juga turut meningkat.

Kebimbangan awam terhadap plastik semakin memuncak dengan kehadiran sisa plastik dan bahan mentah plastik (contohnya, pelet resin) dalam persekitaran, terutamanya di badan air dan lautan, di mana ia menimbulkan bahaya serius kepada spesies akuatik dan burung. Ini adalah suatu masalah sisa yang mana kitar semula bukanlah penyelesaian yang sesuai.

Lewis Freeman, bekas Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan bagi Persatuan Industri Plastik (1979 hingga 2001), berkata, “Walau pun mengetahui bahawa kitar semula plastik tidak dapat menguruskan jumlah sisa plastik yang besar secara realistik, syarikat-syarikat telah menghabiskanberjuta-juta dolar untuk meyakinkan orang ramai. Baru-baru ini, industri plastik telah mula mempromosikan apa yang mereka panggil sebagai kitar semula termaju.”

Penyokong kitar semula secara kimia (yang disebut sebagai “termaju”) mendakwa bahawa ia akan mewujudkan ekonomi kitaran untuk plastik tanpa perlu mengurangkan pengeluaran. Sila lihat penerbitan Beyond Plastics dan IPEN yang bertajuk “Chemical Recycling: A Dangerous Deception” yang merupakan penilaian mendalam mengenai usaha industri untuk melaksanakan kitar semula secara kimia. Laporan ini, yang termasuk kajian kes mengenai kemudahan “kitar semula termaju” yang sedia ada, memberikan semakan kritikal terhadap sejarah panjang kegagalan kitar semula kimia dan ancaman yang ditimbulkannya terhadap alam sekitar, kesihatan manusia, dan keadilan alam sekitar.

Plastik secara semula jadi berisiko untuk dikitar semula. Plastik dibuat dengan bahan kimia toksik, dan apabila dikitar semula, bahan kimia ini akan masuk ke dalam plastik atau produk yang dikitar semula. Bahan kimia toksik juga boleh terhasil dalam plastik kitar semula akibat pencemaran silang dan pemanasan, menyebabkan ancaman kimia yang berterusan dan sering meningkat terhadap kesihatan dan alam sekitar kita.

Sumber: Bell, L. Chemical recycling: A dangerous deception. Beyond Plastics & International Pollutants Elimination Network (IPEN), Oktober 2023.

Kitar semula secara mekanikal melibatkan proses pengasingan, pengisaran, pemisahan, pencucian, peleburan, dan kemudianpenyejukan kembali kepada plastik kitar semula yang berbutir-butir. Kitar semula mekanikal mempunyai kelemahan, seperti penurunan kualiti bahan dan ketidakupayaan untuk mengendalikan plastik tertentu atau plastik yang tercemar. Pada masa yang sama, terdapat banyak barangan plastik terdiri daripada pelbagai jenis polimer, pelbagai lapisan plastik, atau tercemar dengan makanan dan kotoran. Ini menyukarkan proses kitar semula secara mekanikal. Sebaliknya, sisa-sisa ini dibakar atau dihantar ke tapak pelupusan sampah. Selain itu, plastik yang berjaya dikitar semula biasanya dikitar semula ke bawah (downcycle): ia ditukar menjadi produk yang lagi kurang nilainya.

Kitar semula secara kimia merujuk kepada satu set teknologi dan proses yang cuba melebur dan mendidihkan sisa plastik menjadi gas, bahan kimia, minyak, tar, dan lilin. Ia jarang berjaya menukar plastik lama menjadi plastik baharu. Kitar semula kimia bukanlah sesuatu yang baharu atau termaju, kerana ia terutamanya berdasarkan teknologi seperti pirolisis dan gasifikasi yang telah menghadapi masalah teknikal dan komersial untuk memproses sisa itu  selama beberapa dekad. Sebahagian besar hasilnya bukanlah bahan mentah untuk plastik “kitaran” atau “hijau” yang baharu, tetapi bahan bakar petrokimia yang akan dibakar, menghasilkan pelepasan toksik dan gas rumah hijau. Setiap langkah dalam teknologi ini adalah mahal, mencemarkan, dan menggunakan tenaga yang tinggi, dari prarawatan dan proses terma hingga pembersihan output.

Terdapat banyak syarikat kitar semula kimia menggunakan tenaga bahan api fosil untuk menukar plastik berasaskan petrokimia kembali menjadi bahan api berasaskan fosil untuk dibakar. Hal ini akan menyebabkan kitaran pencemaran yang intensif karbon.

Penemuan utama laporan Beyond Plastics dan IPEN mengenai kitar semula kimia adalah seperti berikut:

  • Kitar semula secara kimia adalah penyelesaian palsu kepada pencemaran plastik. Kitar semula kimia telah gagal selama beberapa dekad, terus gagal, dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia akan menyumbang kepada penyelesaian krisis pencemaran plastik.
  • Kitar semula secara kimia adalah tidak cekap, memerlukan tenaga yang tinggi, dan menyumbang kepada perubahan iklim.
  • Kitar semula secara kimia menghasilkan sejumlah besar sisa toksik. Tidak kira apa produk yang cuba dihasilkan oleh loji itu, kitar semula kimia pada tahap terbaik hanya menghasilkan sejumlah kecil produk yang boleh digunakan daripada sejumlah besar sisa plastik. Biasanya, kebanyakan plastik yang masuk ke loji kitar semula kimia akan menjadi sisa (sering kali sisa berbahaya), dibakar sebagai bahan api, atau dibuang ke tapak pelupusan sampah.
  • Kitar semula secara kimia berbahaya dan kotor. Loji kitar semula kimia mengeluarkan pelepasan toksik, menghasilkan sisa berbahaya, dan terdedah kepada kebakaran dan letupan.
  • Kitar semula secara kimia tidak akan melengkapi kitar semula konvensional (mekanikal).Para penyokong mengatakan bahawa kitar semula kimia diperlukan bagi plastik bercampur yang sukar dikitar semula secara mekanikal, tetapi tiada bukti yang menunjukkan bahawa kitar semula kimia boleh mengitar semula sisa plastik bercampur secara ekonomi atau berkesan. Sejauh mana ia berfungsi, kitar semula kimia menggunakan jenis plastik yang sama seperti kitar semula konvensional. Oleh itu, kitar semula kimia berkemungkinan akan bersaing, bukannya melengkapi, kitar semula konvensional.
  • Membakar plastik sebagai bahan api adalah kotor dan tidak mampan dari awal hingga akhir. Operasi ini boleh mencipta risiko yang tidak boleh diterima kepada komuniti berdekatan, menimbulkan ancaman kepada keadilan alam sekitar. Peraturan yang lemah akan meningkatkan risiko kesihatan dan alam sekitar ini. Menggunakan kitar semula secara kimia untuk menukar sisa plastik menjadi bahan api menghasilkan bahan api toksik dan kotor yang berbahaya kepada kesihatan manusia dan bencana untuk iklim.
  • Menukar plastik menjadi bahan api untuk dibakar bukanlah kitar semula. Menurut definisi yang diterima di peringkat antarabangsa, menukar plastik menjadi bahan api bukanlah kitar semula. Ia adalah kaedah pelupusan yang kotor dan berbahaya.
  • Menghapuskan atau melonggarkan peraturan adalah membahayakan kesihatan.Loji kitar semula secara kimia mengeluarkan bahan kimia penyebab kanser dan bahan yang telah diharamkan di peringkat global kerana ia adalah antara bahan kimia paling toksik yang diketahui. Namun, di Amerika Syarikat (AS), banyak negeri menghapuskan atau melonggarkan peraturan alam sekitar dan kesihatan untuk memberi insentif kepada pembinaan kilang baharu, dan industri ini sering mengelak peraturan udara bersih persekutuan. Komuniti keadilan alam sekitar yang sudah menghadapi risiko kesihatan tidak sama rata akibat pencemaran toksik akan menghadapi risiko kesihatan tertinggi daripada pengembangan kitar semula kimia.
  • Dana awam perlu menyokong penyelesaian mampan, bukan kitarsemula kimia. Subsidi kerajaan untuk kitar semula secara kimia adalah pelaburan berisiko dalam teknologi kotor yang belum terbukti. Kita perlu menyokong inovasi untuk bahan yang selamat dan bersih bagi mencipta alternatif mampan yang boleh menggantikan plastik.
Sumber: Chemical Recycling: A Dangerous Deception (Oktober 2023)

Sehingga September 2023, 11 loji kitar semula kimia telah dibina di AS, tetapi kajian kes mendedahkan kegagalan yang meluas, kemudaratan alam sekitar, dan salah urus. Satu isu utama ialah pemprosesan jumlah sisa plastik yang tidak signifikan, di mana disimpulkan bahawa walaupun pada kapasiti penuh, 11 loji kitar semula kimia ini akan memproses kurang daripada 1.3% sisa plastik yang dihasilkan setiap tahun di AS.

Penemuan lain mendedahkan bahawa bahan api fosil berkualiti rendah yang dihasilkan bukannya plastik kitar semula, kos yang tinggi perlu ditanggung, dan risiko yang ketara kepada kesihatan dan alam sekitar, terutamanya bagi komuniti yang rentan. Kerahsiaan industri menyembunyikan kesan sebenar kemudahan ini, yang sering gagal memenuhi kapasiti yang dijanjikan dan menghadapi cabaran operasi, termasuk penjanaan sisa berbahaya, pelanggaran alam sekitar, dan penutupan yang kerap. Contohnya termasuk projek di Idaho, Oregon, North Carolina, Indiana, dan New Hampshire, yang semuanya gagal memenuhi tuntutan kecekapan atau kemampanan, menonjolkan ketidakboleharapan teknologi ini dan keperluan untuk alternatif yang lebih baik.

Di Malaysia, PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mengumumkan pada tahun 2023 bahawa syarikat itu akan membina loji kitar semula kimia termaju yang terbesar di Asia dengan kapasiti 33 kilo tan setahun. Loji yang terletak di Pengerang, Johor, disasarkan untuk beroperasi pada separuh pertama2026. Dalam kenyataan medianya, PCG menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Plastik Baharu (NPE) untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi kitaran dan menyumbang kepada ekosistem plastik yang mampan, loji ini akan membina keupayaan kitar semula kimia sisa plastik melalui penukaran plastik hayat akhir kepada minyak pirolisis yang boleh digunakan sebagai bahan mentah kimia untuk penghasilan plastik mampan.

Perkataan “kitaran” dan “kemampanan” sering digunakan oleh industri. Satu kajian pada 2023 yang menilai tuntutan “kitaran” mengenai kitar semula plastik mendapati semua kriteria untuk plastik kitaran tidak dipenuhi, dengan menyatakan bahawa “cadangan untuk inisiatif ekonomi kitaran yang mensasarkan plastik mungkin mempunyai kesan terhad dan tidak membawa kepada kesan yang diharapkan.”

Instrumen undang-undang global penting yang mengawal sisa plastik ialah Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya. Satu lagi ialah Konvensyen Stockholm mengenai Bahan Pencemar Organik Berterusan (POP). Kedua-dua konvensyen ini menguruskan sisa plastik sebagai sebahagian daripada kumpulan sisa berbahaya yang lebih besar. Satu instrumen undang-undang ketiga sedang dirundingkan dan mungkin menjadi perjanjian plastik global.

Seperti yang ditekankan oleh IPEN, terdapat banyak langkah dasar yang boleh diambil di peringkat global dan nasional, tetapi sedikit yang akan memberi kesan yang jelas dan serta-merta terhadap jumlah dan ketoksikan sisa plastik yang dihasilkan. Kesan yang paling langsung akan datang daripada kewajiban pengurangan dalam pengeluaran plastik, iaitu menutup paip dari puncanya. Sama pentingnya adalah meminimumkan dan, jika mungkin, menghapuskan bahan berbahaya dalam plastik, seperti bahan tambahan kimia.

Penemuan IPEN dan Beyond Plastics menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan pengembangan loji kitar semula kimia dan mengalihkan sumber ke arah penyelesaian yang benar-benar mampan dan inovatif. Dengan mengutamakan peraturan yang ketat, menghapuskan pembiayaan awam untuk teknologi yang tidak berkesan, dan menegakkan keadilan alam sekitar, kita boleh menuju ke arah masa depan yang mengurangkan pencemaran plastik tanpa menjejaskan kesihatan awam atau integriti ekologi.

RUJUKAN:

Bell, L. Chemical recycling: a dangerous deception. Beyond Plastics dan International Pollutants Elimination Network (IPEN), Oktober 2023.
https://ipen.org/…/ipen_bp_chemical_recycling_report_11…

https://stoppoisonplastic.org/…/chemical-recycling…/