Malaysia tidak terjejas dengan produk minuman berkarbonat yang didakwa mengandungi paras klorat yang tinggi seperti yang dilaporkan di beberapa negara Eropah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata berdasarkan maklum balas daripada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan (KKM), tiada bukti bahawa produk itu di Malaysia telah terjejas setakat ini.
Datuk Seri Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa hanya produk Coca-Cola Europe Pacific Partners yang diedarkan di negara Eropah seperti Belgium, Luxembourg, United Kingdom dan Belanda terjejas.
“Ia bukan fenomena global; ia mungkin berkaitan dengan rantaian bekalan kumpulan tertentu atau konsainan tertentu.
“Kami (KKM) akan terus memantau tetapi sehingga hari ini, kami masih belum mendapat sebarang bukti ia terjejas. Tiada ‘red flag’ (pada produk)” katanya.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa KKM menjalankan ujian dan menangguhkan penjualan produk Coca-Cola di Malaysia berikutan penarikan semula produk Coca-Cola di Eropah kerana tahap klorat yang tinggi.
Menurut CAP, Coca-Cola Malaysia kini mengeluarkan, memasarkan dan mengedarkan lebih 80 produk.
Sumber: Bernama (8 Februari 2025)


