Plastik ialah gabungan karbon dan bahan kimia yang kebanyakannya adalah petrokimia yang dihasil daripada bahan api fosil seperti minyak dan gas. Bahan kimia yang berbeza ditambah kepada plastik untuk memberikan pelbagai sifat bagi menghasilkan pelbagai jenis bahan plastik.
Lebih daripada 13,000 bahan kimia digunakan di dalam plastik, di mana lebih daripada 3,000 dikenal pasti sebagai toksik. Antara bahan kimia toksik yang membimbangkan dan lazim ditemui dalam plastik termasuk bisfenol A (BPA), ftalat, bahan pemadam api (seperti polibromin eter difenil – PBDE), bahan per- dan polifluoroalkil (PFAS), alkilfenol, logam berat tertentu dan penstabil UV tertentu; kesemuanya boleh menimbulkan risiko besar terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar apabila dilepaskan daripada produk plastik.
Lebih 350 juta tan metrik sisa plastik dijana di seluruh dunia, dengan sebahagian besar adalah plastik sekali guna. Pembungkusan plastik menyumbang lebih daripada 40% daripada jumlah sisa plastik.
Dianggarkan bahawa lautan kita mengandungi antara 75 hingga 199 juta tan sisa plastik.
Negara maju sering menghantar sisa mereka ke negara membangun untuk dilupuskan atau dikitar semula. Dikenali sebagai ‘Penjajahan Sisa’, ini adalah satu amalan yang tidak adil terhadap negara membangun dan meningkatkan pencemaran alam. Malaysia merupakan antara pengimport sisa plastik terbesar di dunia, dengan alasan untuk industri kitar semula. Tetapi mengitar semula plastik ialah mengitar semula bahan kimia toksik.
Menurut IPEN, demi melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar, Perjanjian Plastik Global yang kini sedang dirunding antara lain perlu: mengurangkan pengeluaran plastik; menghapuskan ancaman daripada bahan kimia toksik sepanjang kitaran hayat plastik; memastikan ketelusan dan kebolehkesanan bahan kimia plastik; dan memastikan pengurusan sisa plastik yang mesra alam, dengan mengambil kira kesihatan masyarakat sekeliling.
Klik pautan ini untuk muat turun dan baca risalah “Plastik Mengancam Manusia dan Alam Sekitar”:
https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2025/02/18-Feb-2025-Plastic-Pamphlet_MY.pdf


