











Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa dengan sekeras-kerasnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Polis Trafik supaya mengambil tindakan segera terhadap pemandu yang terus tidak mengendahkan peraturan tempat letak kereta, termasuk meletak kenderaan di zon larangan dan secara sewenang-sewenangnya.
Tinjauan baru-baru ini yang dijalankan oleh CAP di seluruh Pulau Pinang mendedahkan trend parkir yang tidak bertanggungjawab yang semakin meningkat. Ramai pengguna jalan raya nampaknya tidak mengendahkan kesan tindakan mereka terhadap pengguna jalan raya yang lain, menyebabkan bahaya dan ketidakselesaan yang tidak sepatutnya berlaku.
Keadaan kini telah mencapai tahap kritikal, terutamanya di sepanjang Jalan Residensi berhampiran Hospital Besar Pulau Pinang, di mana kenderaan kerap diletakkan di sepanjang garisan kuning berkembar yang jelas melanggar peraturan lalu lintas.
CAP juga mendapati berlakunya penyalahgunaan tempat letak kereta awam, terutamanya di kawasan Lebuh Pasar, di mana barangan seperti tong, kerusi plastik, pasu bunga dan objek lain digunakan untuk menempah tempat letak kereta secara tidak sah. Selain itu, kenderaan yang diletakkan di atas turapan dan di perhentian bas memburukkan lagi kesesakan lalu lintas dan mengganggu pergerakan pejalan kaki.
Berdasarkan penemuan ini, CAP menggesa MBPP dan Polis Trafik untuk memperkukuhkan lagi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas serta konsisten terhadap pesalah. Langkah segera dan tegas adalah perlu untuk memulihkan keadaan, menambah baik aliran trafik, dan melindungi hak dan keselamatan semua pengguna jalan raya di Pulau Pinang.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 29 April 2026

