Johnson & Johnson menyatakan ia akan membayar anggaran AS$5.5 bilion bagi menyelesaikan puluhan ribu tuntutan mahkamah yang mendakwa bedak bayi dan produk talkumnya yang lain menyebabkan kanser ovari; satu perjanjian penting yang berpotensi menamatkan pertikaian undang-undang sengit yang telah berlarutan selama sedekad.
Johnson & Johnson memaklumkan bahawa penyelesaian itu meliputi kira-kira 76,000 tuntutantermasuk tuntutan yang digabungkan di Mahkamah Persekutuan New Jersey serta kes-kes berkaitan di mahkamah negeriyang mewakili hampir keseluruhan baki tuntutan berkaitan talkum terhadap syarikat itu.
Syarikat multinasional Amerika Syarikat itu sebelum ini telah menyelesaikan kebanyakan kes yang mendakwa produk talkumnya mengandungi asbestos dan menyebabkan mesotelioma.
Firma guaman pihak plaintif mengesahkan perjanjian itu dan menyifatkannya sebagai penyelesaian yang baik selepas pertikaian mahkamah yang berlarutan selama 10 tahun. Perjanjian itu perlu diterima oleh 95% daripada penuntut kes kanser ovari di mahkamah negeri atau persekutuan sebelum ia menjadi muktamad.
Naib Presiden bahagian litigasi Johnson & Johnson, Erik Haas, berkata bahawa tuntutan-tuntutan itu “tidak berasas” dan syarikat bersedia untuk mencapai penyelesaian demi menamatkan isu berkenaan.
“Walaupun kami yakin syarikat akhirnya akan memenangi kes jika litigasi diteruskanseperti yang berlaku dalam kebanyakan kes yang dibicarakan setakat ini, penyelesaian ini membolehkan syarikat melangkah keluar daripada isu ini dan terus menumpukan perhatian kepada misi membangunkan ubat-ubatan serta peranti yang menyelamatkan nyawa,” kata Haas.
Johnson & Johnson menjangka akan membayar AS$3 bilion pada 2027 dan akan membuat bayaran lanjut pada 2028. Walau bagaimanapun, nilai keseluruhan perjanjian itu mungkin lebih tinggi, bergantung pada jumlah individu yang menyertai penyelesaian itu.
Chris Seeger, peguam yang mewakili kira-kira 2,500 pelanggan dengan tuntutan berkaitan talkum dan turut membantu merundingkan perjanjian itu, menyatakan bahawa Johnson & Johnson mungkin akhirnya membayar sejumlah AS$7 bilion atau lebih.
Penyelesaianitu menetapkan nilai khusus bagi tuntutan kanser ovari yang memenuhi syarat, namun tidak meletakkan had ke atas jumlah keseluruhan bayaran oleh Johnson & Johnson,kata Seeger. “Kami telah mencapai penyelesaian yang adil, dan pelanggan kami akan berpuas hati dengannya.”
Johnson & Johnson mencapai penyelesaian itu selepas beberapa siri kejayaan di mahkamah, termasuk kemenangan dalam perbicaraan kes individu, usaha yang berjaya untuk membatalkan kelayakan peguam plaintif daripada litigasi itu, serta keputusan mahkamah yang menolak keterangan pakar yang digunakan oleh plaintif untuk membuktikan kes mereka di mahkamah.
Syarikat yang beribu pejabat di New Jersey itu memperoleh kemenangan penting dalam pertikaian undang-undang yang berlarutan lama itu, apabila seorang hakim persekutuan mempersoalkan keupayaan plaintif individu untuk membuktikan bahawa talkum secara khususnya menjadi punca kanser ovari mereka.
Johnson & Johnson sejak sekian lama menafikan dakwaan bahawa produk talkumnya menyebabkan kanser, dengan menegaskan bahawa talkum adalah selamat dan tidak mengandungi asbestos.
Syarikat itu berhenti menjual bedak bayi berasaskan talkum di Amerika Syarikat pada 2020 dan beralih kepada produk berasaskan kanji jagung. Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang disambung semula pada Mac 2025, selepas tertangguh selama lebih tiga tahun sementara Johnson & Johnson berusahanamun gagalmelaksanakan strategi yang dikenali sebagai “Texas two step”; strategi ini melibatkan pemfailan tiga kes muflis melalui anak syarikat ‘shell’ (syarikat tanpa operasi sebenar) dalam usaha untuk menyelesaikan kes-kes itu. Kesemua kes muflis itu akhirnya ditolak oleh mahkamah.
Sebelum percubaan muflis itu, Johnson & Johnson mempunyai rekod keputusan yang bercampur-campur dalam perbicaraan berkaitan talkum, termasuk satu keputusan mahkamah yang memerintahkan pembayaran pampasan bernilai berbilion dolar kepada 22 wanita yang mendakwa bedak bayi syarikat itu menyebabkan kanser ovari mereka. Syarikat itu memenangi beberapa perbicaraan secara mutlak, manakala jumlah pampasan dalam keputusan lain dikurangkan selepas proses rayuan.
Berbeza dengan cadangan penyelesaian melalui muflis, perjanjian yang dicapai itu hanya terpakai bagi tuntutan sedia ada dan tidak meliputi tuntutan undang-undang pada masa hadapan.
Sumber: Reuters/ The Guardian (28 Julai 2026)
https://www.theguardian.com/business/2026/jul/28/johnson-johnson-5bn-settlement-talc-cancer-lawsuit


