
Kaum wanita, berhati-hatilah. Gincu yang anda beli mungkin mengandungi merkuri tersembunyi iaitu sejenis neurotoksin berbahaya yang diharamkan penggunaannya dalam produk kosmetik. Sebelumini sering ditemui dalam produk pencerah kulit, merkurijugakini dikesan terkandung dalam sesetengah gincu.
Satu amaran keselamatan telah dikeluarkan di Filipina oleh kumpulan pemantau bahan toksik, Ecowaste Coalition; di mana ujian terkini mereka mendapati kandungan merkuri mencecah 209 bahagian persejuta (bps) dalam satu jenama gincu keluaran China. Logam berat ini dikesan dalam lapan batang gincu jenama Chanlanya yang dijual di sana.
Gincumurah itu tidak menjalani penilaian kualiti dan keselamatan sebelum dipasarkan, kata kumpulan itu. Memandangkan produk ini disapu pada bibir, pengguna terdedah kepada risiko tertelan bahan itu secara langsung serta risiko keselamatan yang lain.
Berdasarkan keputusan saringan X-Ray Fluorescence oleh EcoWaste Coalition, lapan batang gincu itu didapati mengandungi merkuri pada tahap melebihi 1 bps, iaitu had kandungan surih bagi merkuri sebagai bahan cemar logam berat dalam produk kosmetik di bawah Arahan Kosmetik ASEAN.

Pencemaranmerkuri yang diukur sebanyak 19, 20, 21, 60, 62, 64, 208, dan 209 bps dikesan pada gincu berwarna merah itu, EcoWaste Coalition berkata dalam kenyataan akhbarnyapada 29 Julai 2026.
“Amat membimbangkan apabila sesetengah produk kosmetik bibir mengandungi merkuri, memandangkan penggunaannya secara kerap membolehkan toksin berbahaya terkumpul di dalam tubuh anda dari masa ke masa,” kata Aileen Lucero, Penyelaras Kebangsaan EcoWaste Coalition.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “pendedahan kepada merkuri walaupun dalam jumlah yang kecilboleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius serta menjadi ancaman kepada perkembangan kanak-kanak semasa dalam kandungan dan pada peringkat awal kehidupan”.
Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Filipina (PFDA), “Potensi bahaya boleh berpunca daripada bahan-bahan yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik atau daripada pencemaran logam berat. Penggunaan produk kosmetik yang tidak memenuhi piawaian dan mungkin dicemari bahan terlarang boleh mengakibatkan kesan buruk, termasuk tetapi tidak terhad kepada kerengsaan kulit, kegatalan, kejutan anafilaktik dan kegagalan organ.”
Bagi sampel gincu yang terlibat, walaupun kotak pembungkusannya menyatakan China sebagai negara pengeluar, maklumat mengenai pengilang, pengimport atau pengedar gincu Chanlanya tidak dinyatakan.

Semakan CAP mendapati bahawa gincu Chanlanya boleh didapati secara dalam talian di Malaysia. Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli dan menggunakannya. Pihak berkuasa Malaysia perlu menjalankan siasatan serupa di sini dan menarik balik produk penjagaan diri yang mengandungi merkuri daripada pasaran.
Utamakan kesihatan dan keselamatan berbanding kecantikan. Bagi mencegah dan mengurangkan risiko kesihatan yang dikaitkan dengan gincu yang dicemari bahan berbahaya:
● Elakkan penggunaan gincu sepenuhnya, atau kurangkan penggunaannya jika anda tidak pasti sama ada ia bebas daripada plumbum, merkuri dan bahan cemar lain.
● Jangan beli gincu yang tidak mempunyai maklumat pelabelan.
● Berhati-hati jika harganya terlalu rendah; ia mungkin produk tiruan yang diragui kualitinya.
● Jangan biarkan kanak-kanak bermain dengan gincu.

