BERHENTI DAN MENUNGGU BILA PERLU

Hidup Bukan Perlumbaan untuk Melihat Siapa Paling Cepat

Pernah tak anda memandu dengan tenang, kemudian seseorang memotong dengan laju, mencelah, menekan minyak dan cuba meninggalkan semua orang di belakang? Namun beberapa ratus meter kemudian, anda bertemu semula dengannya di lampu isyarat yang sama.

Begitulah kehidupan. Ada orang terlalu tergesa-gesa mahu mendahului. Mahu cepat naik pangkat. Mahu cepat kaya. Mahu cepat dikenali. Mahu kelihatan lebih berjaya daripada orang lain. Sampai sanggup memotong jalan, menjatuhkan orang, mengambil hak orang lain dan mengorbankan ketenangan sendiri.

Tetapi akhirnya, kita semua akan melalui lampu isyarat kehidupan yang sama. Ada masa kita perlu berhenti. Ada masa kita perlu menunggu. Ada masa perjalanan kita diperlahankan walaupun kita sudah berusaha sebaik mungkin.

Orang yang kelihatan jauh di hadapan hari ini, belum tentu akan sampai lebih awal. Dan orang yang bergerak perlahan, belum tentu sedang ketinggalan. Mungkin dia sedang memandu dengan lebih selamat. Mungkin dia sedang menjaga keluarganya. Mungkin dia sedang memilih jalan yang tidak merosakkan dirinya dan orang lain.

Hidup bukan perlumbaan untuk melihat siapa paling cepat. Yang penting bukan sekadar sampai. Tetapi bagaimana kita sampai, siapa yang kita sakiti sepanjang perjalanan, dan sama ada kita masih mengenali diri sendiri apabila tiba di destinasi.

Jangan gadaikan prinsip, kesihatan dan ketenangan hanya untuk berada beberapa meter di hadapan orang lain. Kadang-kadang, selepas segala usaha untuk memotong dan meninggalkan orang lain, kita tetap akan bertemu semula di lampu isyarat yang sama.

Sumber: Public Health Malaysia