Isu gaji rendah kekal sebagai salah satu kebimbangan utama yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa kini. Walaupun telah menikmati pertumbuhan ekonomi selama beberapa dekad dan Malaysia muncul sebagai ekonomi berpendapatan sederhana tinggi, ramai pekerja masih bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, isu kemampuan memiliki rumah serta ketidakstabilan kewangan. Meskipun ekonomi telah berkembang pesat, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati bahawa kadar upah tidak meningkat seiring dengan kos sara hidup mahupun kemajuan ekonomi negara secara keseluruhan.
Malaysia tidak mengalami situasi ini dengan secara mendadak. Selama beberapa dekad, model ekonomi negara tertumpu kepada usaha menarik pelaburan melalui kos tenaga kerja yang agak rendah serta sektor pembuatan berorientasikan eksport. Strategi ini berjaya mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kadar kemiskinan dan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian. Walau bagaimanapun, usaha mengekalkan daya saing kos sering kali diberi keutamaan berbanding peningkatan gaji dan peralihan industri ke arah aktiviti yang menawarkan nilai tambah lebih tinggi.
Kesan daripada keadaan ini semakin ketara. Menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents, hampir 40 peratus graduan berpengalaman menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang setara dengan kelayakan dan kemahiran mereka. Kelewatan dalam memperoleh pekerjaan yang sesuai mengekang potensi pendapatan serta menyukarkan kemajuan kerjaya, lebih-lebih lagi dengan kemasukan berterusan graduan baharu ke dalam pasaran buruh.
Satu lagi kelemahan struktur ialah bahagian pendapatan negara yang diterima oleh pekerja yang agak rendah. Menurut OpenTable Podcast Episod 6 KRI bertajuk Jangan Retak Menanti Belah: Menilai Semula Struktur Ekonomi Malaysia, pekerja di Malaysia hanya menerima kira-kira 30 peratus daripada pendapatan syarikat, manakala baki 70 peratus pula diperoleh oleh pemilik perniagaan dan pemegang modal. Angka ini jauh lebih rendah berbanding bahagian pendapatan buruh di kebanyakan ekonomi maju.
Ketersediaan tenaga kerja kos rendah secara meluas, termasuk pekerja asing, telah mengukuhkan model ekonomi ini, terutamanya dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan makanan. Akibatnya, banyak pekerjaan berkemahiran rendah terus terperangkap dalam upah rendah, menjadikannya kurang menarik bagi pekerja tempatan serta mengehadkan peluang untuk peningkatan upah. Walau bagaimanapun, pekerja asing tidak seharusnya dianggap sebagai punca utama masalah upah di Malaysia. Penggunaan tenaga kerja asing secara meluas itu sendiri merupakan simptom bagi model ekonomi yang sekian lama mengutamakan kos buruh yang rendah berbanding inovasi, pertumbuhan produktiviti dan pembangunan tenaga kerja.
Kelemahan struktur yang sama turut ketara dalam sektor pertanian dan perikanan. Selama beberapa dekad, ramai petani dan nelayan kekal sebagai pengeluar komoditi mentah, sedangkan sebahagian besar nilai ekonomi itu kemudiannya diperoleh oleh pihak pemproses, pemborong dan peruncit. Kesannya, sektor-sektor ini semakin dilihat sebagai kerjaya yang kurang menarik, terutamanya dalam kalangan golongan muda Malaysia.
Thailand menawarkan contoh berguna bagi pendekatan yang berbeza. Melalui program seperti One Tambon One Product (OTOP), masyarakat luar bandar digalakkan untuk mengubah hasil tempatan menjadi produk bernilai tambah, termasuk teh herba, buah-buahan kering, produk berasaskan kelapa dan kosmetik semula jadi. Pekebun kecil tidak dijangka melakukan usaha ini secara bersendirian; sebaliknya, mereka mengeluarkan hasil secara kolektif manakala perusahaan komuniti, koperasi dan agensi kerajaan memberikan sokongan dari segi pemprosesan, penjenamaan dan pemasaran.
Malaysia mempunyai institusi yang berkebolehan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan, yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif penting dalam penyelidikan, pembangunan teknologi serta pemindahan teknologi. Usaha-usaha seperti mempromosikan produk bernilai tambah dan menyokong pengkomersialan ini wajar diiktiraf serta dipergiatkan lagi. Cabarannya adalah untuk memastikan lebih banyak hasil penyelidikan dan inovasi berkembang melangkaui peringkat projek perintis ke arah penggunaan secara meluas dan kejayaan komersial.
Penekanan yang lebih besar perlu diberikan kepada usaha menghubungkan penyelidikan, pemindahan teknologi, pengkomersialan, pembiayaan, pemprosesan dan akses pasaran. Ini untuk memastikan golongan petani dan nelayan dapat mencapai produktiviti yang lebih tinggi, pendapatan yang lebih baik serta memperoleh bahagian yang lebih besar daripada nilai yang dijana di sepanjang rantaian bekalan.
Oleh itu, penyelesaiannya bukan sekadar mewajibkan kadar upah yang lebih tinggi. Pertumbuhan upah yang mampan mestilah disokong oleh produktiviti yang lebih kukuh dan penciptaan nilai yang lebih besar. Malaysia perlu mempercepat peralihan ke arah sektor bernilai lebih tinggi, memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), menggalakkan inovasi, menyokong perusahaan tempatan untuk bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai, serta membangunkan produk bernilai lebih tinggi merentas semua sektor, termasuk pertanian, perikanan dan tenaga. Pada masa yang sama, pergantungan kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah perlu dikurangkan secara berperingkat apabila perniagaan meningkatkan produktiviti dan mewujudkan pekerjaan yang lebih berkualiti.
Kebimbangan sering dibangkitkan bahawa kenaikan upah pasti akan mencetuskan inflasi. Walaupun risiko ini wujud, ia banyak bergantung kepada sama ada kenaikan upah itu diiringi oleh peningkatan produktiviti. Apabila pekerja menjadi lebih produktif hasil daripada kemahiran yang lebih baik, inovasi dan amalan perniagaan yang lebih cekap, upah yang lebih tinggi disokong oleh penciptaan nilai yang lebih besar dan bukannya sekadar kos tenaga kerja yang lebih tinggi.
Banyak ekonomi maju, termasuk Korea Selatan, Singapura dan Jerman, mencapai tahap upah yang tinggi bukan dengan menekan kos tenaga kerja, sebaliknya dengan melabur dalam modal insan, inovasi dan aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi. CAP percaya Malaysia perlu mengikuti langkah yang sama. Matlamatnya bukan sekadar untuk menaikkan upah, tetapi untuk membina ekonomi yang bersaing berdasarkan produktiviti, inovasi, kemahiran dan kualiti, dan bukannya berdasarkan ketersediaan tenaga kerja murah. Disokong oleh pembaharuan struktur yang menyeluruh, upah yang lebih tinggi dapat meningkatkan taraf hidup, memperkukuh permintaan domestik serta mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 3 Ogos 2026


