
Oleh Datuk Dr Anis Yusal Yusoff
Dalam dunia yang semakin dipenuhi dengan retorik, polarisasi dan aktivisme bermusim, hadir sebuah buku yang mengingatkan kita bahawa perubahan sebenar tidak lahir daripada slogan, tetapi daripada keteguhan prinsip dan kesungguhan berjuang sepanjang hayat.
The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S M Mohamed Idris bukan sekadar sebuah buku penghormatan kepada seorang tokoh, malah dokumentasi tentang bagaimana seorang individu mampu mengubah masyarakat melalui integrity, keberanian dan ketekunan.
Disunting Claude Alvares, Shahridan Falez dan Lim Jee Yuan, buku ini menghimpukan pelbagai catatan, refleksi dan pengalaman mereka yang pernah mengenali serta bekerjasama dengan Allahyarham S M Mohamed Idris.
Pendekatan ini menjadikan buku tersebut lebih daripada sebuah biografi biasa. Ia memperlihatkan kehidupan seorang aktivis daripada pelbagai sudut pandang, sekali gus membolehkan pembaca memahami mengapa beliau begitu dihormati di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
S M Mohamed Idris atau lebih mesra dipanggil Uncle Idris dikenali sebagai pejuang hak pengguna, pembela alam sekitar dan suara kepada golongan yang sering tidak mempunyai ruang untuk mempertahankan hak mereka. Selama lebih lima dekad, beliau memperjuangkan pelbagai isu yang menyentuh kehidupan rakyat, daripada keselamatan makanan, kesihatan awam dan pendidikan hinggalah kepada kelestarian alam sekitar serta keadilan global.
Apa yang menarik, perjuangan beliau tidak pernah didorong kepentingan politik mahupun keinginan mengejar popularity. Sebaliknya, ia berakar pada keyakinan bahawa masyarakat yang baik hanya dapat dibina apabila setiap warga berani mempertahankan kebenaran.
Kekuatan utama buku ini adalah keupayaannya menampilkan konsistensi prinsip dipegang Uncle Idris sepanjang hayatnya. Dalam era apabila ramai pemimpin berubah mengikut keadaan politik atau tekanan semasa, beliau kekal teguh mempertahankan nilai diyakininya. Sikap inilah menjadikannya contoh kepimpinan berteraskan nilai, iaitu kepimpinan yang tidak bergantung jawatan atau kuasa, tetapi kepada kewibawaan moral.
Gunung dimaksudkan dalam judul buku ini bukanlah gunung secara fizikal, tetapi symbol kepada pelbagai cabaran besar yang kelihatan mustahil untuk diatasi. Uncle Idris tidak memiliki kuasa politik mahupun kekayaan luar biasa. Namun, melalui kesabaran, ilmu, integrity dan keupayaan menggerakkan masyarakat, belaiu mempengaruhi dasar, membina gerakan rakyat dan mengangkat pelbagai isu sehingga mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa.
Saya sendiri mempunyai pengalaman peribadi mengenali Uncle Idris secara dekat. Setiap kali apabila saya pulang ke Pulau Pinang, saya akan dipanggil oleh Uma, pembantu peribadi Uncle idris untuk bertemu dengan Uncle Idris di pejabat CAP. Setiap perbincangan kami, Uncle idris akan meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada saya seolah-olah apa juga usaha-usaha yang saya sedang lakukan adalah tidak mencukupi dan saya perlu berusaha lebih gigih lagi.
Begitulah impak kehebatan sosok yang ramai kenali sebagai S M Idris ini. Beliau sentiasa memikirkan tentang semua orang disekelilingnya. Malah setiap kali apabila beliau membaca majalah atau surat khabar dan apabila ada perkara-perkara penting yang beliau mahu saya beri perhatian, beliau akan hantar potongan akhbar atau majalah tersebut kepada saya.
Uncle Idris bukan sekadar seorang aktivis lantang, tetapi juga seorang mentor, pendidik dan sahabat yang sentiasa bersedia berkongsi ilmu serta membimbing generasi baharu.
Beliau percaya perubahan tidak boleh dicapai secara bersendirian. Ia memerlukan dialog, kerjasama dan pembinaan jaringan yang merentasi disiplin, agama dan budaya. Nilai inilah yang menjadikan perjuangannya terus hidup walaupun beliau telah tiada.
Buku ini bukan hanya meraikan kehidupan seorang tokoh besar. Ia mengangkat makna sebenar kepimpinan berintegriti, keberanian moral dan penglibatan warga dalam membina Negara yang lebih adil, lestari dan berperikemanusiaan.
Buku ini wajar dibaca semua yang percaya perubahan besar sentiasa bermula daripada keberanian seorang manusia biasa untuk melakukan perkara luar biasa. Ia satu himpunan tulisan-tulisan yang bukan sahaja menginspirasikan, tetapi turut menggerakkan hati pembaca untuk menjadi sebahagian perubahan yang ingin mereka lihat dalam masyarakat. Semoga Uncle idris terus mendapat rahmat atas kebajikan beliau dan ditempatkan bersama para solehin.
*Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM.
Sumber: Sinar Harian (30 Julai 2026)

